JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

ASEAN Perlu Beri Tumpuan Terhadap Pelaksanaan Visi ASEAN 2045 - Mohamad Hasan

25/10/2025 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Negara anggota ASEAN kini perlu mengalihkan tumpuan kolektif ke arah pelaksanaan Visi ASEAN 2025: Masa Depan Bersama, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam ucapan pembukaannya pada Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-37, beliau berkata Visi 2045 – disokong oleh empat pelan strategik – menyediakan rangka kerja jelas dan menyeluruh untuk memandu transformasi rantau ini dalam tempoh dua dekad akan datang.

“Perkara ini tidak akan tercapai tanpa usaha gigih Pasukan Petugas Peringkat Tinggi dan dedikasi semua pegawai meliputi tiga tonggak utama, serta Jawatankuasa Penyelarasan Kesalinghubungan ASEAN. Kami menghargai usaha mereka.

“Kita perlu mengalihkan tumpuan bersama ke arah pelaksanaan, ketika kita memperkasakan Komuniti ASEAN berorientasikan rakyat yang inklusif, mampan dan berdaya tahan,” katanya pada mesyuarat yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.

Mohamad berkata pencapaian ASEAN baru-baru ini, termasuk kemasukan penuh Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 badan serantau itu dan mempercepat inisiatif Grid Tenaga ASEAN, mencerminkan tekad berterusan rantau ini untuk memberikan manfaat ketara kepada rakyat.

Menteri Luar berkata misi pencarian fakta oleh tiga tonggak utama, iaitu Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) memainkan peranan penting dalam membentuk pelan hala tuju yang komprehensif untuk keanggotaan Timor-Leste.

Beliau berkata langkah penting telah diambil dalam bidang kemampanan serantau dan kerjasama tenaga, terutamanya menerusi pecutan Grid Tenaga ASEAN dan sebagai inisiatif utama, langkah itu memperkukuh kesalinghubungan, mempercepat peralihan tenaga dan menyokong komitmen negara anggota ASEAN terhadap masa depan yang lebih hijau dan berdaya tahan.

“Pencapaian ini membuktikan kekuatan mekanisme penyelarasan kita, namun mengingatkan kita bahawa ACC perlu kekal sebagai teras kepada kesepaduan merentasi tonggak.

“Cabaran yang dihadapi semakin kompleks dan saling berkaitan, dan hanya melalui pendekatan menyeluruh ASEAN, kita mampu mencapai hasil bermakna,” katanya.

ACC ialah sebahagian daripada beberapa mesyuarat yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bermula esok hingga 28 Okt.

Sidang kemuncak berkenaan menghimpunkan pemimpin serantau untuk membincangkan isu utama politik, ekonomi dan keselamatan di bawah Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak berkenaan.

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan