JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Anwar Adakan Pertemuan Dua Hala Dengan Trump

26/10/2025 02:05 PM

Oleh Muhammad Faiz Baharin

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.

Kedua-dua pemimpin itu menghadiri pertemuan tersebut sejurus selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Perjanjian Damai KL itu yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja Hun Manet itu menandakan langkah rasmi ke arah menghentikan permusuhan serta memulihkan keamanan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan antara kedua-dua negara.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D. Kagan berkata tarif semikonduktor, perdagangan, pelaburan, keselamatan dan kestabilan serantau antara topik yang dijangka dibincangkan semasa lawatan sulung Trump ke Malaysia.

Menurut Kagan, Malaysia merupakan rakan kongsi yang amat penting bagi AS, memandangkan syarikat negara itu telah membuat pelaburan besar dalam sektor ini, khususnya yang menumpukan kepada rantaian bekalan Barat.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan AS kekal kukuh sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1957. Pada 2014, kedua-dua negara telah meningkatkan hubungan itu kepada Tahap Perkongsian Komprehensif.

AS merupakan antara rakan dagang dan pelabur terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan bernilai RM324.91 bilion (USD71.39 bilion) pada 2024.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan