ALOR SETAR, 27 Okt (Bernama) -- Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat merasmikan projek menghijau serta melestarikan bandar raya, Urban Forest 1 di Dataran Medan Bandar di sini hari ini.
Naib Presiden Jemaah Datuk Negeri Kedah Datuk Bakar Din berkata projek tersebut merupakan kesinambungan kepada Program 2 Juta Pokok yang dilancarkan awal tahun ini, dengan sasaran menanam 2.2 juta pokok menjelang 2030.
Beliau berkata ia merupakan sebahagian usaha menjadikan Kedah negeri hijau dan lestari melalui konsep ‘Bandar Di Dalam Taman’ dengan mewujudkan ruang hijau yang memberi keseimbangan ekologi dan keceriaan kepada penduduk bandar.
“Projek ini diilaksanakan hasil kerjasama Jemaah Datuk Negeri Kedah bersama Majlis Bandaraya Alor Setar, kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dengan sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan serta pihak swasta,” katanya selepas majlis perasmian tersebut di sini, hari ini.
Turut berangkat Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah merangkap Presiden Jemaah Datuk Negeri Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin serta Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Bakar berkata spesies pokok yang ditanam termasuk Tacoma, Pulai, Merawan Siput Jantan, Bunga Matahari serta pelbagai jenis pokok hiasan dan renek yang sesuai dengan suasana bandar.
Selain itu, beliau berkata Urban Forest 1 merupakan permulaan kepada pelaksanaan beberapa lagi projek di bandar utama di seluruh negeri ini sejajar dengan aspirasi menjadikan Kedah negeri hijau, sejahtera dan lestari di samping menjaga ekosistem alam sekitar.
Tambah beliau lagi Urban Forest 1 juga akan menjadi daya tarikan baharu di bandar raya ini, selain beberapa kawasan menarik sedia ada di sekelilingnya termasuk Masjid Zahir dan Istana Kuning sempena Tahun Melawat Kedah 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial