JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kerajaan Negeri Sedia Geran Sokongan Kepada Agensi Pelancongan Laksana Program Latihan

27/10/2025 04:26 PM

SEREMBAN, 27 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan menyediakan geran sokongan kepada agensi pelancongan yang ingin melaksanakan program latihan, termasuk kepada pembantu pelancong, bagi mempromosikan industri pelancongan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri Nicole Tan berkata agensi berminat boleh mengemukakan permohonan berkenaan menerusi Tourism Arts and Culture Negeri Sembilan di bawah Pejabat Exco Pelancongan dan Menteri Besar.

"Kerajaan negeri komited membantu agensi pelancongan tempatan agar terus berdaya tahan dalam mempromosikan industri pelancongan Negeri Sembilan.

"Saya sendiri adakan bengkel pembantu pelancong setiap minggu secara percuma dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seremban. Kita bawa peserta ke Jejak Warisan atau Pesona Seremban iaitu kawasan pelancongan sekitar Seremban," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek pembinaan tebing sungai di Taman Oakland di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga bersedia sepenuhnya untuk menerima pelancong sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 dengan pelbagai produk pelancongan baharu akan diketengahkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, beliau berkata kerja pembaikan tebing runtuh itu sedang dilaksanakan menerusi peruntukan daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) berjumlah RM3.45 juta.

Tan berkata projek yang bermula sejak Jun lepas diharap dapat diselesaikan mengikut jadual pada April tahun hadapan demi keselamatan lebih 600 penduduk di kawasan itu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Oakland Abu Ibon, 63, berkata tebing sungai setinggi 15 meter tersebut telah runtuh sejak setahun lepas dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Katanya, jarak antara rumah dan kawasan terjejas adalah tiga meter dan terdapat beberapa kesan rekahan di jalan berdekatan, justeru, beliau berharap pembinaan tebing sungai itu dapat disiapkan mengikut jadual.

“Kalau tebing ini runtuh kita bimbang memberi kesan buruk kepada jambatan yang merupakan laluan utama ke Taman Oakland. Pada 2014 jambatan di taman kami pernah runtuh menyebabkan semua penduduk terperangkap kerana laluan keluar masuk sudah tiada," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan