JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Brazil Komited Pertingkat Hubungan Dengan Semua Negara Tanpa Berpihak

27/10/2025 05:43 PM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Brazil, negara terbesar di Amerika Selatan, komited untuk bekerjasama dengan semua negara bagi memupuk penglibatan dan kerjasama global yang lebih luas di tengah-tengah perubahan landskap dunia, serta tidak menyebelahi mana-mana pihak, kata Presiden Luiz Inácio Lula da Silva.

Beliau berkata negara itu mengekalkan dasar luar negara yang bebas dan seimbang dalam hubungannya di peringkat global, dengan menegaskan bahawa Brasilia tidak akan berpihak dengan mana-mana kuasa tunggal.

“Kami ingin menjalin hubungan dengan semua negara di dunia dan tidak menerima Perang Dingin baharu yang menjejaskan kehidupan manusia.

“Kami mahu mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan juga China, bukan semata-mata kerana tarif. China adalah rakan dagang terbesar Brazil dan hubungan itu masih berkembang,” katanya pada sidang media sempena lawatan pertama beliau ke Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini hari ini.

Lula turut menolak tanggapan bahawa hubungan yang semakin akrab dengan Washington boleh menjejaskan hubungan dengan Beijing, sambil menekankan bahawa Brazil juga menghargai kerjasama dengan AS, Malaysia, dan Eropah.

Beliau berkata pertemuannya dengan Presiden AS Donald Trump di luar sidang kemuncak itu pada Ahad berakhir dengan baik, dengan kedua-dua pihak berharap dapat mengadakan perbincangan yang lebih konstruktif untuk menyelesaikan isu tarif.

“Ini tidak menjejaskan hubungan Brazil dengan China. AS boleh membuat perjanjian dengan sesiapa yang mereka mahu. Saya juga boleh membuat perjanjian dengan sesiapa yang saya mahu.

“Kami ingin bergantung kepada semua negara di dunia, dengan cara itu, kami tidak memihak kepada mana-mana negara,” kata beliau, sambil menekankan bahawa pendekatan ini akan memberi manfaat kepada ekonomi Brazil dan rakyatnya.

 Lula, yang juga Pengerusi BRICS berada di Malaysia bagi lawatan rasmi tiga hari sebagai Tetamu Pengerusi ASEAN, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di sini.

Lawatan ini menandakan kunjungan pertama beliau ke Malaysia sejak kembali memegang jawatan Presiden pada Januari 2023, dan juga lawatan pertama Presiden Brazil ke Sidang Kemuncak ASEAN sejak Brazil menjadi rakan dialog sektoral blok itu pada 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan