JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Setiausaha Agung PBB Sambut Baik Perkembangan Terkini Perjanjian Perdagangan AS-China

27/10/2025 09:40 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyambut baik perkembangan terkini berkaitan dengan hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, apabila kedua-dua kuasa besar itu membawa semula keyakinan ke arah mencapai satu perjanjian.

Bercakap pada sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini, beliau berkata sekatan perdagangan semasa menjejaskan ekonomi global, khususnya kepada negara-negara yang sedang membangun.

“Saya merupakan penyokong kuat perdagangan bebas dan adil. Perang perdagangan tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak, tiada pihak yang menang dalam perang perdagangan.

“Saya berharap sebarang rundingan perdagangan yang dijalankan akan berhasil dan dapat mewujudkan sistem dengan perdagangan sebagai pemangkin pembangunan, bukannya penghalang kepada pembangunan,” katanya sebelum Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-15 di sini hari ini, yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Semalam, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang berada di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, menyatakan keyakinan terhadap potensi perjanjian perdagangan dengan Presiden China Xi Jinping, semasa pertemuan mereka di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan minggu ini.

Menurut laporan, rundingan perdagangan antara perunding perdagangan China Li Chenggang dan Timbalan Perdana Menteri He Lifeng dengan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer, di luar Sidang Kemuncak ASEAN telah membuahkan hasil positif.

Sementara itu, Guterres berkata inisiatif kerjasama perdagangan dan ekonomi seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) merupakan langkah ke hadapan yang baik.

Beliau berkata negara-negara yang sedang membangun perlu mempunyai kuasa perwakilan dan kuasa pembuat keputusan yang berpengaruh dalam sistem kewangan global, di samping akses yang lebih luas kepada langkah meringankan beban hutang serta pembiayaan konsesi untuk mengatasi cabaran ekonomi semasa.

“Saya sama sekali menentang dunia yang dikuasai oleh kuasa besar. Kita memerlukan dunia yang berlandaskan undang-undang antarabangsa, serta nilai-nilai Piagam PBB dijunjung,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan