JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Malaysia, Kanada Sepakat Perkukuh Hubungan Ekonomi, Teroka Peluang Baharu - PM Anwar

27/10/2025 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Kanada bersetuju untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan pelaburan di samping meneroka peluang baharu dalam tenaga hijau, inovasi dan pendidikan selaras dengan aspirasi bersama ke arah pertumbuhan inklusif dan mampan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu telah dipersetujui semasa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau dari Kanada, Mark Carney, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini hari ini.

“Kejayaan usaha sama melibatkan gas asli cecair (LNG) oleh Petronas di Kanada menjadi contoh nyata keyakinan terhadap potensi, kekuatan dan saling bergantungan ekonomi antara kedua-dua negara,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata lawatan rasmi pertama Carney ke Asia sejak memegang jawatan pada Mac mencerminkan komitmen Kanada untuk mempekukuh penglibatan dengan ASEAN, khususnya dalam kerjasama ekonomi dan pembangunan mampan.

Carney tiba di Malaysia pada Sabtu untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai Tetamu Pengerusi, atas jemputan Perdana Menteri.

Beliau diiringi oleh isteri, Diana Fox Carney, serta Menteri Perdagangan Antarabangsa Maninder Sidhu dan kalangan pegawai kanan kerajaan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berperanan sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama dan menangani isu yang menjadi cabaran serantau serta global secara menyeluruh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan