JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

PM Kanada Mark Carney Akan Bertemu Presiden China Xi Jinping Pada Sidang Kemuncak APEC

27/10/2025 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Kanada Mark Carney akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping di Korea Selatan sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) minggu ini.

Carney berkata pertemuan itu akan memperkukuh perbincangan awal yang telah diadakan dengan Perdana Menteri China Li Qiang di New York sebelum ini, yang meliputi kerjasama perdagangan serta perkembangan sistem global.

Beliau berkata pertemuan itu menandakan fasa baharu dalam hubungan Kanada-China selepas beberapa tahun menjalin hubungan yang terhad.

“Terdapat sekatan yang besar sebelum ini berikutan isu-isu lain dalam hubungan dua hala. Kini, perlu ada penyusunan semula jangkaan terhadap sejauh mana hubungan ini boleh berkembang dan sejauh mana ia tidak akan pergi,” katanya pada sidang media bersama media terpilih di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.

Pada masa sama, Carney berkata beliau melihat dialog dengan Xi sebagai sebahagian daripada proses jangka panjang membina hubungan, bukannya satu urusan tunggal.

“Saya menantikan perbincangan dengan Presiden Xi, dan ia merangkumi isu yang jauh lebih luas daripada perdagangan semata-mata. Inilah perbezaan antara hubungan dan urus niaga. Kami sedang memulakan hubungan, membinanya daripada situ,” katanya.

Selain itu, beliau berkata China kekal sebagai pemain global yang penting dan rakan ekonomi utama bagi Kanada, dengan terdapat bidang yang boleh diterokai untuk kemajuan termasuk pertanian, perikanan dan pembuatan.

“Ini adalah rakan dagang kedua terbesar kami. Ini juga ekonomi kedua terbesar di dunia. Negara ini antara pemain paling berpengaruh dalam sistem global seperti yang ada sekarang,” tambahnya.

 -- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan