KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Malaysia hari ini menyeru agar usaha kerjasama serantau dipertingkat dalam perkongsian teknologi, pembangunan kapasiti dan penyelesaian mobiliti pintar antara negara anggota Road Engineering Association of Asia and Australasia (REAAA), sebagai langkah bersama memperkukuh infrastruktur jalan raya yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim di rantau ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang mewakili Malaysia pada Persidangan REAAA ke-17 Tahun 2025 di Goyang, Republik Korea, berkata infrastruktur jalan raya yang lestari dan berdaya tahan kini perlu dianggap sebagai tanggungjawab serantau bersama.
“Kita berdepan cabaran yang sama – perubahan iklim, peningkatan kos dan aset yang semakin usang. Melalui kerjasama dan perkongsian pengetahuan, kita dapat membangunkan infrastruktur yang bukan sahaja menghubungkan negara, tetapi juga melindungi nyawa dan sumber pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam ucaptama bertajuk ‘Paving the Future - Sustainable and Resilient Roads in a Climate-Challenged Era’, Nanta menggariskan strategi nasional Malaysia bagi mengintegrasikan prinsip kelestarian, inovasi dan keterangkuman dalam sektor jalan raya, berpaksikan dasar seperti Dasar Pembinaan Negara (NCP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, dan Pelan Induk Teknologi Hijau.
Beliau berkata kementerian kini mengetuai inisiatif 10 tahun bagi mentransformasikan sektor penyelenggaraan kepada industri yang lebih tersusun dan bernilai tinggi melalui Dasar Penyelenggaraan Infrastruktur dan Aset Negara, yang sedang dibangunkan dan dijangka dilancarkan pada 2027.
Dasar berkenaan memperkenalkan rangka kerja menyeluruh bagi penyelenggaraan yang lestari dan tahan perubahan iklim, merangkumi langkah pencegahan, penggunaan bahan baharu, sistem saliran lebih baik, perlindungan cerun serta pemantauan berasaskan teknologi bagi menangani kesan perubahan iklim terhadap jalan raya.
Nanta berkata kementerian juga merancang menubuhkan Pusat Kecemerlangan Penyelenggaraan Infrastruktur bagi memperkukuh latihan, pensijilan serta piawaian penyelidikan dan pembangunan (R&D) sejajar dengan visi berkenaan.
Menyorot kejayaan Malaysia dalam inovasi berasaskan penyertaan awam, beliau berkata aplikasi mudah alih MYJalan kini menjadi platform berkesan yang memberi kuasa kepada orang ramai untuk menyertai usaha penyelenggaraan jalan.
Sejak dilancarkan pada Ogos 2023, aplikasi itu telah menerima lebih 42,600 aduan di seluruh negara, dengan 96.7 peratus kes di bawah bidang kuasa kementerian berjaya diselesaikan.
Dalam pada itu, Nanta menegaskan keperluan kerajaan melabur dalam sistem penyelenggaraan berasaskan data dan ramalan, selain menggalakkan penyelidikan rentas sempadan serta projek bersama dalam pembangunan bahan hijau dan infrastruktur mobiliti pintar.
Persidangan REAAA 2025 bertemakan ‘Innovating Road Infrastructure for a Sustainable Future’ menghimpunkan lebih 1,000 perwakilan dari 30 negara termasuk menteri, pihak berkuasa jalan raya dan pakar industri.
Acara itu menjadi platform utama bagi pertukaran idea dalam bidang inovasi, kelestarian dan transformasi digital rangkaian pengangkutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial