KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan MADANI tidak pernah berkompromi dalam memastikan pematuhan terhadap standard halal sepanjang rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), tegas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau menjelaskan menerusi perjanjian itu, proses kelulusan pengimportan produk halal dari AS kekal seperti sedia ada, iaitu perlu mematuhi standard halal Malaysia serta Akta Perihal Dagangan (Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal 2011) bagi tujuan perdagangan dalam negara.
Tengku Zafrul berkata hanya produk halal yang memperoleh pengesahan daripada badan pensijilan halal AS yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan memenuhi keperluan halal Malaysia akan diperakukan serta dibenarkan untuk dieksport ke negara ini.
“Pengiktirafan JAKIM terhadap mana-mana badan pensijilan halal di AS adalah berasaskan proses audit dan pengesahan yang ketat, dengan menilai keupayaan serta tahap pelaksanaan pematuhan terhadap standard halal Malaysia.
“Kawalan penuh terhadap standard, penentuan kriteria dan pengiktirafan halal kekal berada di bawah bidang kuasa JAKIM. Tiada sebarang kelonggaran terhadap piawaian atau prosedur halal Malaysia… standard halal Malaysia ditentukan oleh Malaysia, disahkan oleh JAKIM dan dipelihara umat Islam di negara ini,” katanya.
Menurut beliau, dari segi perdagangan, pendekatan itu bertujuan memudah cara pentadbiran serta mempertingkatkan fasilitasi urusan eksport dan import tanpa menjejaskan integriti sistem halal Malaysia atau kedudukan standard halal negara sebagai penanda aras antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan menteri berhubung usaha memelihara dan mengukuhkan daya saing perdagangan serta pelaburan Malaysia dalam mendepani cabaran geoekonomi global menerusi Perjanjian ART Malaysia-AS di Dewan Rakyat hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial