MELAKA, 29 Okt (Bernama) -- Sebuah premis menjual daging sejuk beku yang bukan merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), dikesan menggunakan perkataan halal pada papan tanda perniagaan kedai itu di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata pada operasi bersepadu yang dilaksanakan antara pihaknya dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kira-kira 11 pagi tadi, sebanyak 28.85 kilogram produk daging sejuk beku bernilai RM7,802.15, turut dikesan menggunakan logo halal tidak sah.
“Dalam operasi berkenaan, pemilik perniagaan gagal mengemukakan sijil halal dan siasatan lanjut mendapati premis itu bukan pemegang SPHM yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Pemilik perniagaan tersebut disyaki telah melanggar Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730),” katanya dalam kenyataan selepas operasi berkenaan.
Beliau berkata selain itu, premis berkenaan juga telah dikompaun kerana menggunakan alat timbang elektronik yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
Mohd Hazimin berkata peniaga diingatkan tidak menggunakan logo atau sebarang paparan berkaitan halal yang mengelirukan, bagi mengelakkan pengguna tertipu dan ragu-ragu terhadap status halal sesuatu produk atau premis.
Beliau berkata pegawai penguat kuasa KPDN Melaka, sentiasa melakukan pemantauan serta operasi bagi memastikan tidak berlaku pelanggaran undang-undang, dan pengguna diminta menjadi mata dan telinga KPDN dalam melaporkan salah laku berkaitan perdagangan serta isu kepenggunaan.
“Sebarang pertanyaan lanjut atau aduan boleh disalurkan ke Pejabat KPDN Melaka atau melalui WhatsApp (019-848 8000), portal e-aduan@kpdn.gov.my, pusat panggilan (1-800-886-800), Ez Adu KPDN dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Negeri Melaka menerusi talian (06-2345869).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial