JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

LPJ Laksana Projek Tukun Tiruan Di Perairan Mersing

30/10/2025 11:57 AM

MERSING, 29 Okt (Bernama) -- Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) komited untuk memperkukuh peranannya sebagai rakan pembangunan mampan kepada masyarakat dan alam sekitar melalui pelaksanaan projek tukun tiruan. 

Pengerusi Lembaga Pengarah LPJ Dr Rosnan Fathlal berkata program itu antara inisiatif khas sempena ulang tahun ke-50 LPJ, sekali gus mencerminkan komitmen bersama terhadap kelestarian alam sekitar serta kelangsungan sumber perikanan. 

Beliau berkata Mersing dipilih sebagai lokasi pertama projek ini berdasarkan kedudukannya sebagai daerah pelancongan lestari selain mempunyai banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan perikanan. 

"Kita bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan infrastruktur dan kecekapan operasi pelabuhan, tetapi (pada masa sama) memperkukuh peranan sebagai rakan pembangunan mampan kepada masyarakat. 

"Tukun tiruan ini bukan sekadar struktur besi dan konkrit di dasar laut, sebaliknya membawa makna besar iaitu menjadi ‘rumah baharu’ bagi hidupan marin selain membantu memulihkan ekosistem laut, di samping meningkatkan populasi ikan yang menjadi sumber rezeki nelayan, " katanya.

Rosnan berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan program melabuhkan tukun tiruan sempena ulang tahun LPJ ke-50 di jeti kargo Majlis Daerah Mersing di sini hari ini, yang turut dihadiri Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah. 

Beliau berkata tukun tiruan bersaiz 5.2 meter (m) panjang, 3.2m lebar dan 3.3m tinggi bernilai RM50,000 itu akan dilabuhkan di perairan Pulau Tinggi, di sini esok pada kedalaman kira-kira 10 meter.

"Sehubungan itu, kita berharap projek ini dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga kebersihan laut, memerangi pencemaran dan mengamalkan industri ikan yang mampan. 

"Sumber utama ekonomi Mersing adalah daripada pelancongan dan perikanan, oleh itu, kami berharap inisiatif ini dapat memberi manfaat berganda kepada dua sektor berkenaan termasuk komuniti nelayan setempat," katanya. 

LPJ ditubuhkan pada 1975 sebagai badan berkanun Persekutuan yang bertanggungjawab mentadbir, mengawal dan membangunkan pelabuhan-pelabuhan di bawah seliaannya, termasuk Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan