KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) giat melaksanakan Program Lelaki Budiman Negara bagi memperkukuh institusi kekeluargaan serta meningkatkan kualiti modal insan negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata inisiatif tersebut yang selaras dengan fokus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan modul pendidikan lelaki budiman sekali gus menyokong mandat LPPKN dalam memperkasa peranan golongan itu sebagai suami, bapa dan anggota masyarakat bertanggungjawab.
Beliau berkata keperluan melaksanakan program tersebut semakin mendesak apabila statistik menunjukkan golongan lelaki juga tidak terkecuali menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
“Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan pada 2022, sebanyak 1,778 mangsa lelaki direkodkan sebelum menurun kepada 1,213 kes pada 2023 tetapi meningkat semula kepada 1,865 kes pada 2024.
“Bagi 2025, hingga Julai sahaja sebanyak 1,183 kes keganasan rumah tangga melibatkan lelaki,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Noraini menjawab soalan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) yang meminta kementerian menyatakan indikator penilaian keberkesanan pelaksanaan modul seperti Parenting at Work dan program pembangunan keluarga LPPKN bagi mengurangkan risiko penderaan terhadap lelaki.
Ahmad Fakhruddin juga ingin tahu statistik terperinci mangsa lelaki dalam kes keganasan rumah tangga dari 2022 hingga kini.
Noraini berkata bagi menilai keberkesanan program pembangunan keluarga yang dilaksanakan, LPPKN menggunakan model penilaian Kirkpatrick yang menekankan tiga indikator utama iaitu pengetahuan, pengamalan dan perubahan tingkah laku.
“Penemuan penilaian setakat suku kedua tahun ini menunjukkan lebih 90 peratus peserta melaporkan peningkatan pengetahuan, hampir 90 peratus mengamalkan ilmu dipelajari dan hampir 70 peratus menunjukkan perubahan positif dalam tingkah laku.
“Ini menunjukkan modul seperti Parenting at Work serta program pembangunan keluarga LPPKN memberi kesan positif dalam meningkatkan literasi kekeluargaan, memupuk budaya hormat-menghormati antara pasangan dan mengurangkan risiko penderaan termasuk terhadap lelaki,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Ahmad Fakhruddin mengenai pendekatan dalam mendekati lelaki yang menjadi mangsa penderaan, beliau berkata isu berkenaan masih mencabar kerana ramai lelaki enggan tampil akibat rasa malu, takut dan bimbang dipandang rendah.
“Sebenarnya kita selaku masyarakat perlu lebih empati dan tidak menghukumi. Kerana itulah LPPKN sentiasa memperkukuh pendekatan awal seperti kaunseling.
“Peserta boleh memilih sama ada ingin berurusan dengan kaunselor lelaki atau perempuan. Kalau lelaki, lebih baik (kaunselor) lelaki supaya mereka lebih selesa berkongsi masalah,” katanya.
Dalam masa sama, Noraini menegaskan mangsa boleh melaporkan kes mereka dengan menghubungi Talian Kasih 15999 kerana kempen kesedaran keganasan rumah tangga adalah inklusif, tidak hanya menimpa wanita tetapi merentas jantina.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial