JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

KUSKOP Perkukuh Mekanisme Pembiayaan Selaras Agenda Reformasi Kerenah Birokrasi - Ewon

30/10/2025 09:56 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh mekanisme pembiayaan bagi memudahkan akses usahawan kepada dana, selaras dengan agenda Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) sektor awam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pelbagai penambahbaikan dilaksanakan bagi memastikan proses permohonan pembiayaan menjadi lebih pantas, efisien dan mesra usahawan.

Beliau berkata antara inisiatif yang diambil ialah penambahbaikan prosedur permohonan TEKUN Nasional yang kini hanya memerlukan empat dokumentasi daripada pemohon.

“Di samping itu, kuasa had melulus permohonan di bawah RM20,000 juga telah dipertanggungjawabkan di peringkat negeri,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi KUSKOP di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Ewon berkata permohonan pembiayaan kini diluluskan dalam tempoh 16 hari bekerja daripada tarikh permohonan, manakala kemudahan pembayaran balik turut dipertingkat melalui platform Sistem Kutipan Mikro Kredit Tanpa Tunai (CMCCS) dan perbankan Internet.

Selain itu, beliau berkata Bank Rakyat meningkatkan kecekapan proses kelulusan pembiayaan dengan tempoh maksimum 14 hari bagi pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan enam hari bekerja bagi pembiayaan mikro.

“Sementara Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) membangunkan Sistem Pembiayaan E2E S3P yang juga platform digital bagi menguruskan keseluruhan proses pembiayaan daripada permohonan hingga kelulusan,” katanya.

Berhubung dana pembiayaan termasuk berkaitan keusahawanan digital yang telah disediakan kepada usahawan wanita, Ewon berkata sehingga September tahun ini, sebanyak 249,013 orang menerima pembiayaan AIM dengan peruntukan berjumlah RM2.19 bilion, manakala TEKUN Nasional melibatkan 17,385 orang dengan dana RM332.9 juta.

“Daripada aspek pelaksanaan program keusahawanan wanita di peringkat nasional, berdasarkan pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA), sebanyak 330,502 usahawan wanita disasarkan mendapat manfaat daripada  42 program melibatkan pelbagai kementerian dan agensi sepanjang tahun ini,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem perusahaan sosial (SE), beliau berkata kerajaan menyediakan Dana Padanan Sosial Nasional khusus kepada usahawan mikro yang berminat untuk menceburi bidang itu, dengan dana pelaburan bersama disediakan di bawah Suruhanjaya Sekuriti melalui platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) Skim Perusahaan Sosial oleh MyCIF yang menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000.

“Selain itu, Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial oleh SME Bank ditawarkan kepada Tunas SE, SE Asas dan SE Diakreditasi di bawah KUSKOP dengan pembiayaan minimum berjumlah RM100,000,” katanya.

Mengenai cadangan pemberian insentif cukai kepada organisasi korporat yang menyalurkan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada usahawan SE berdaftar, Ewon berkata sehingga kini tiada insentif cukai diberi kepada organisasi korporat yang menyalurkan dana kepada perusahaan sosial.

“Bagi penyelarasan selanjutnya, cadangan ini perlu dikaji oleh Kementerian Kewangan kerana ia melibatkan implikasi kewangan kepada negara,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pelaporan program berkaitan SE telah dibentangkan secara berkala kepada pemegang taruh dalam ekosistem SE di Malaysia melalui Jawatankuasa Pembangunan. Keusahawanan Sosial (SECOM) dan boleh diakses melalui Portal SE KUSKOP.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan