KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Perak Corporation Bhd (Perak Corp) berkata syarikat itu tidak mengetahui sebarang perkembangan yang boleh mencetuskan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) sahamnya, yang menyaksikan kenaikan mendadak harga dan jumlah dagangan baru-baru ini.
Syarikat itu berkata demikian bagi menjawab pertanyaan UMA daripada Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) semalam berikutan peningkatan mendadak harga dan jumlah dagangan saham syarikat itu.
Perak Corp dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata selain cadangan pelan penyusunan semula yang dikemukakan untuk kelulusan Bursa Securities dan saranan yang diumumkan sebelum ini, lembaga pengarah tidak mengetahui apa-apa aspek yang mungkin menyumbang kepada aktiviti perdagangan itu.
“Mengikut pemerhatian lembaga pengarah dan selepas melakukan siasatan yang sewajarnya dengan semua pengarah, pemegang saham utama serta pihak berkaitan, lembaga pengarah tidak tahu sebarang perkembangan penting mengenai perniagaan dan urusan kumpulan yang belum diumumkan sebelum ini,” katanya.
Menurut syarikat, perbincangan dengan pelbagai pihak akan diteruskan mengenai usaha sama dan peluang perniagaan berpotensi dalam urusan perniagaan harian.
“Tiada sebarang perbincangan awal yang dijalankan oleh syarikat itu telah menghasilkan apa-apa perjanjian muktamad, dan ia juga belum dibincangkan atau diluluskan oleh lembaga pengarah menerusi kaedah yang memerlukan pengumuman segera selaras dengan Keperluan Penyenaraian (LR) Pasaran Utama,” katanya.
Perak Corp berkata syarikat juga tidak mengetahui sebarang laporan mengenai kumpulan itu atau apa-apa penjelasan lain yang sesuai, yang mungkin menjelaskan aktiviti perdagangan luar biasa itu.
“Syarikat ini kekal mematuhi LR terutama Perenggan 9.03 mengenai obligasi pendedahan segera,” katanya.
Perak Corp selaku anak syarikat Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak mempunyai empat segmen teras iaitu tanah dan hartanah, pelabuhan dan logistik, hospitaliti dan pelancongan serta perkhidmatan pengurusan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial