JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Komuniti Pulau Di Mersing Berhemah Mencari Rezeki Semasa MTL

31/10/2025 02:40 PM

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 31 Okt (Bernama) -- Ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) menjadi permulaan kepada komuniti kepulauan daerah ini untuk lebih berhemah bagi menghadapi cuaca tidak menentu dan menyesuaikan diri untuk terus mencari rezeki.

Ketua Kampung Tanjung Balang, Pulau Tinggi di sini Rossana Hussin, 57, berkata cabaran utama dihadapi kira-kira 150 penduduk menjelang MTL bukan sekadar hujan lebat, tetapi keadaan laut bergelora dan angin kuat hingga menjejaskan aktiviti harian mereka.

“Apabila tidak dapat ke laut, tempoh itu antara waktu getir buat penduduk kerana pendapatan terjejas disebabkan kira-kira 80 peratus merupakan nelayan pesisir pantai yang bergantung kepada hasil laut sebagai sumber utama rezeki,” katanya ketika ditemui Bernama.

Rossana berkata dalam tempoh itu, kebiasaannya penduduk akan menumpukan kepada aktiviti memancing dan menjaring sebagai sumber makanan atau dijadikan sebagai ikan kering jika cuaca mengizinkan atau dijeruk sebagai alternatif mencari pendapatan secara kecil-kecilan.

“Itu sahaja aktiviti boleh dilakukan. Jadi hasil tidak terbuang sebab kadang-kadang kalau lambat (dijual) harga ikan jatuh. Seterusnya dalam tempoh dua minggu (apabila cuaca mengizinkan), kita ke darat untuk menjual,” katanya. 

Bagi Abdillah Abdullah, 42, yang sudah berbelas tahun menjadi pemandu bot pelancong berkata aktiviti pelancongan dihentikan semasa MTL atas faktor keselamatan, menyebabkan dia akan memancing berhampiran jeti selain membantu isteri menguruskan perniagaan air kelapa di Kampung Busong, Pulau Besar di sini. 

“Bagaimanapun, apabila memasuki fasa pertengahan monsun saya akan simpan barang berniaga dan ke darat (Mersing) untuk cari kerja (seperti) di kedai makan demi kelangsungan hidup,” kata bapa kepada dua anak itu. 

Sementara itu Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah berkata pendapatan utama penduduk pulau di situ ialah sebagai nelayan, bekerja sendiri atau terlibat sektor pelancongan. 

Bagaimanapun, semasa MTL, Jabatan Laut Malaysia (Mersing) akan mengeluarkan arahan penutupan jeti utama pada waktu tertentu atas faktor keselamatan seperti hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora menyebabkan sumber pendapatan mereka terjejas. 

”Oleh itu, bakul makanan sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dan peralatan asas perubatan daripada Yayasan Johor Corporation (JCorp) sebagai bantuan awal amat membantu komuniti pulau sebagai persediaan menghadapi MTL," katanya yang merakamkan penghargaan dan terima kasih atas pemberian itu. 

Semalam, Yayasan JCorp menyalurkan sumbangan kit kebersihan, bantuan tunai dan baucar kelengkapan sekolah manakala YSIJ menyumbang barangan keperluan asas kepada 235 penerima dari Pulau Sibu, Pulau Tinggi, Pulau Besar, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur menerusi program Monsoon Relief: Waves of Support di Pejabat Daerah Mersing. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp Zaidatul Zurita Abdul Rahman.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan