KUANTAN, 31 Okt (Bernama) -- Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) terus memperkasakan pelajar sekolah melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jejak Cemerlang 2025, yang julung kali diadakan di sekolah luar bandar di Temerloh.
Program itu melibatkan tiga sekolah di daerah berkenaan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bahaman, SMK Lanchang dan SMK Bukit Damar.
Ketua Pegawai Eksekutif Pernas Datuk Nor Azam M. Taib dalam kenyataan berkata program itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan penganjuran dengan SMK Seri Pantai, Kuala Lumpur sejak 2015 yang menjadi sekolah angkat di bawah inisiatif CSR Pernas.
Beliau berkata Jejak Cemerlang merupakan usaha berterusan untuk membantu pelajar khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar lebih bersedia dan yakin menghadapi peperiksaan penting itu.
“Pelaburan paling bernilai bukan pada bangunan atau harta benda, tetapi pada ilmu dan manusia. Apabila seorang pelajar berjaya, bukan sahaja kehidupannya berubah tetapi keluarga, masyarakat dan negara turut menerima manfaat,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena perasmian program itu di Dewan Panglima Perang Weh, SMK Datuk Bahaman di Lanchang, Temerloh semalam.
Program Jejak Cemerlang memberi fokus kepada sesi bimbingan akademik, teknik menjawab soalan serta perkongsian motivasi untuk membantu pelajar mencapai keputusan lebih baik.
Majlis turut melibatkan penyerahan sumbangan alat tulis kepada pelajar asnaf daripada tiga sekolah terlibat sebagai sebahagian daripada usaha membantu mereka membuat persediaan akhir menjelang SPM.
Nor Azam berharap semua sekolah berkenaan dapat menunjukkan peningkatan sama seperti dicapai SMK Seri Pantai.
“Semoga kejayaan pelajar ini menjadi bukti bahawa setiap usaha dan sokongan mampu mengubah masa depan daripada potensi kepada pencapaian (dan) daripada semangat kepada kejayaan sebenar,” katanya.
Pernas memaklumkan Program Jejak Cemerlang 2025 diadakan bersama-sama SMK Seri Pantai pada 7 Okt di Auditorium Tun Rahah, Menara Pernas, Kuala Lumpur manakala penganjuran di Temerloh diteruskan dengan tumpuan kepada pelajar luar bandar agar mereka mendapat peluang dan bimbingan yang sama.
Selain itu, Pernas memaklumkan turut melaksanakan pelbagai inisiatif CSR seperti Program Back to School dan sumbangan cermin mata percuma untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah membuat persediaan sesi persekolahan lebih baik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial