KUALA NERANG, 31 Okt (Bernama) -- Lebih 15,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di seluruh negara dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi banjir ekoran Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula tidak lama lagi.
Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan cuaca dan akan bertindak mengikut perancangan sekiranya bencana itu berlaku.
“Kita akan menjalankan operasi di kawasan dikenal pasti berisiko banjir dengan maklumat lokasi hotspot disalurkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya selepas Majlis Perasmian Penutupan Latihan Pengendalian dan Penyelenggaraan Bot sempena MTL 2025/2026 di Tasik Pedu, dekat sini hari ini.
Aminurrahim berkata koordinasi serta perkongsian maklumat antara agensi amat penting dalam menghadapi MTL bagi memastikan persiapan rapi terutama dalam menggerakkan aset dan anggota ke lokasi terjejas.
“Pengalaman sebelum ini, kita jangka (banjir) di Pantai Timur dan menggerakkan aset ke sana, tetapi banjir berlaku di Selangor menyebabkan kita kena bawa pula aset kita dan ini melambatkan operasi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata tindakan pantas dalam operasi menyelamat mangsa banjir antara fokus diberi perhatian dalam setiap latihan dijalankan agensi itu.
Aminurrahim berkata ia berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini termasuk di Perak dan Kedah apabila air naik terlalu pantas terutama pada waktu malam.
“Jadi keperluan untuk menyelamat mangsa banjir dalam keadaan tersebut perlu sentiasa diberikan latihan agar anggota kita dapat bertindak dengan berkesan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial