JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

ADMM Komited Tegakkan Keamanan Di Laut China Selatan, Alu-alukan Penyertaan Timor-Leste

31/10/2025 11:38 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Dalam usaha signifikan yang menunjukkan solidariti serantau, menteri-menteri pertahanan ASEAN secara sebulat suara menerima pakai Deklarasi Bersama Kuala Lumpur, mengukuhkan ikrar bersama untuk menegakkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin secara rasmi menyerahkan deklarasi berkenaan yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 kepada Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn di sini hari ini.

Deklarasi Bersama Kuala Lumpur mengenai Perpaduan ASEAN untuk Keselamatan dan Kemakmuran mengulangi komitmen supaya semua pihak bekerjasama secara konstruktif dan aman bagi mengekalkan Laut China Selatan sebagai perairan yang aman, stabil dan makmur.

Menurut dokumen itu, matlamat ini akan dicapai melalui pelaksanaan sepenuhnya Deklarasi Tata Laku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan 2002 (DOC) serta penyelesaian awal Kod Tatalaku (COC) yang substantif, selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS) dalam garis masa yang dipersetujui bersama.

“Di samping itu, pihak-pihak terlibat komited untuk menggalakkan keselamatan maritim, keselamatan dan kebebasan pelayaran dan penerbangan serta mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk penyelesaian pertikaian secara aman di Laut China Selatan,” menurut dokumen itu.

ADMM ke-19 juga menekankan kepentingan mengekalkan dan mempromosikan keamanan, keselamatan, kestabilan, keselamatan pelayaran dan kebebasan navigasi serta penerbangan di Laut China Selatan, selain keperluan untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama.

Ia turut menekankan keperluan mengamalkan kawalan diri dalam menjalankan sebarang aktiviti yang boleh merumitkan atau memburukkan pertikaian serta menjejaskan keamanan dan kestabilan, mengelakkan tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan dan mengusahakan penyelesaian pertikaian secara aman selaras prinsip undang-undang antarabangsa sejagat termasuk UNCLOS 1982.

Deklarasi itu juga mengharapkan penyelesaian awal bagi COC yang berkesan dan substantif selaras undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS 1982, serta memuji langkah-langkah membina keyakinan (CBM) sedia ada seperti Kod untuk Pertemuan Tidak Dirancang di Laut.

“Kami mengharapkan Garis Panduan untuk Pertemuan Tentera Udara (GAME), Garis Panduan untuk Interaksi Maritim (GMI), Infrastruktur Komunikasi Langsung ASEAN (ADI) dan aktiviti lain di bawah rangka DOC yang boleh mengurangkan ketegangan serta risiko kemalangan, salah faham dan salah penilaian,” menurut dokumen itu.

Mesyuarat itu juga mengalu-alukan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN dan memuji penyertaannya sebelum ini sebagai Pemerhati dalam mesyuarat dan aktiviti ADMM, ADMM-Plus dan berkaitan, serta penyertaan baharunya sebagai ahli penuh ADMM dan ADMM-Plus.

Ia seterusnya mengumumkan galakan untuk Timor-Leste mematuhi prinsip dan modaliti yang digariskan dalam Kertas Konsep mengenai Penubuhan ADMM dan ADMM-Plus serta Protokolnya dan berharap dapat meneruskan kemajuannya dalam memenuhi Pelan Hala Tuju untuk Keahlian Penuh Timor-Leste dalam ASEAN.

Timor-Leste digalakkan untuk mematuhi prinsip dan kaedah yang digariskan dalam Kertas Konsep mengenai penubuhan ADMM dan ADMM-Plus serta Protokolnya dan berharap dapat meneruskan kemajuannya dalam memenuhi Pelan Tindakan bagi Keanggotaan Penuh Timor-Leste dalam ASEAN.

Mesyuarat ADMM ke-19 dan ADMM-Plus ke-12 bermula semalam hingga 2 November, dengan penyertaan lapan negara rakan dialog, iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan