Daripada Nor Baizura Basri
GYEONGJU (Korea Selatan), 1 Nov (Bernama) -- Hantaran mencuit hati Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai G-Dragon yang membuat pertunjukan pada makan malam Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) malam tadi berjaya mencuri hati sebilangan besar peminat bintang K-Pop itu di Malaysia.
Terdahulu, Perdana Menteri berkongsi klip pertunjukan 36 saat bintang berkenaan yang sedang menyanyikan lagu "Drama" di akaun Twitter, Instagram dan Facebook rasmi beliau.
"Ramai peminat K-Pop di Malaysia mintak saya kongsikan persembahan G-Dragon malam ini. Jadi saya kongsi sedikit detik persembahan beliau supaya tak menghampakan para peminat," kata beliau menerusi hantaran di X.
Sejak hantaran itu dimuat naik tujuh jam lepas di X, video tersebut telah ditonton sebanyak 520,000, dengan reaksi like sebanyak 7,815, sebanyak 3,674 repost, 1,105 quotes dan 7,815 like.
Lebih mencuit hati, ada antara antara komen peminat G-Dragon dikenali sebagai "VIP" memohon Anwar "berbisik" kepada bintang K-Pop tersebut membuat konsert reunion tahun depan di Malaysia bersama ahli kumpulannya BigBang sempena ulangtahun kumpulan hip hop itu yang menjejak angka 20 tahun, bukan sekadar sehari tetapi konsert selamat tiga hari berturut-turut.
Pada majlis makan malam meraikan pemimpin APEC itu, G-Dragon atau nama sebenarnya Kwon Ji-Yong yang juga merupakan Duta APEC , turut menyanyikan lagu "Power".
Selain G-Dragon, pemimpin APEC turut dihiburkan dengan pertunjukan kebudayaan termasuk alunan seruling tradisional oleh Kim Ki-yeop mambawa penonton "kembali" ke zaman silam Gyeongju yang mempunyai sejarah Kerajaan Silla Kingdom, ia merupakan penguasa seluruh Semenanjung Korea selama hampir seribu tahun.
Bandar kelima terbesar Korea Selatan yang mendapat julukan ‘muzium tanpa dinding’, menempatkan tapak-tapak bersejarah yang sebahagiannya telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, kali ini dipilih sebagai tuan rumah pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC yang bermula semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial