SHAH ALAM, 1 Nov (Bernama) -- Sebanyak 23 usahawan di bawah Program Latihan Asas Transformasi Usahawan Selangor (PLATS) dan Bahagian Pembangunan Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Shanghai, China dari 5 hingga 10 Nov.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata penyertaan itu bertujuan membantu usahawan negeri itu memperluas pasaran produk halal ke peringkat global selain membina jaringan kerjasama strategik dengan pemain industri antarabangsa.
“Penyertaan ke MIHAS merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkasakan usahawan tempatan untuk menembusi pasaran luar, khususnya China yang mempunyai potensi besar dalam industri halal.
“Kita harap mereka dapat memanfaatkan peluang ini untuk memasarkan produk, menjalin jaringan baharu dan membawa pulang ilmu serta pengalaman yang boleh digunakan untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.
Mohd Najwan berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan komputer riba kepada 28 mahasiswa dalam kalangan B40 di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di sini hari ini.
Beliau berkata antara produk terlibat ialah makanan dan minuman, produk kesihatan serta barangan kreatif, dengan kerajaan negeri menanggung 80 peratus kos sewaan reruai pameran manakala selebihnya oleh peserta.
“Tahun lepas, kita membawa usahawan ke Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) di Nanning. Melihat potensi pasaran yang luas, tahun ini Selangor meneruskan penyertaan di Shanghai untuk mengukuhkan kehadiran produk halal negeri di peringkat antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial