JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Caruman KWSP Dua Peratus Untuk Pekerja Asing Selaras Amalan Terbaik Global - Sim

03/11/2025 02:23 PM

GEORGE TOWN, 3 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi majikan dan pekerja bukan warganegara, merupakan langkah wajar bagi memastikan keadilan sosial sekali gus memelihara reputasi Malaysia pada peringkat global.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata bahawa langkah menetapkan kadar dua peratus itu mematuhi piawaian antarabangsa seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan penting bagi mengekalkan kredibiliti Malaysia di pasaran dunia.

Beliau menjelaskan pelaksanaan caruman dua peratus yang bermula bulan lepas, memberikan tiga manfaat utama iaitu mengurangkan aliran keluar mata wang asing yang dianggarkan sekitar RM1 bilion setahun, meminimumkan risiko pekerja lari daripada majikan, serta menyediakan dana kecemasan kepada pekerja bukan warganegara ketika berada di Malaysia.

“Caruman ini bukan skim persaraan seperti untuk rakyat tempatan, sebaliknya simpanan yang boleh dikeluarkan apabila mereka pulang ke negara asal. Ia juga boleh digunakan untuk tujuan kecemasan termasuk dalam kes kematian.

“Kadar dua peratus adalah kadar tetap. Ia mungkin nampak kecil berbanding lebih 10 peratus yang dicarum oleh pekerja tempatan, tetapi sekurang-kurangnya memberikan perlindungan sosial asas kepada mereka,” katanya pada sesi ‘Morning Talk with the Human Resources Minister’ pada Tax Seminar on Budget 2026 di sini hari ini.

Sim berkata walaupun pelaksanaan dasar itu tidak berada di bawah kementeriannya kerana KWSP terletak di bawah Kementerian Kewangan, namun beliau ingin membetulkan persepsi mengenai tujuan sebenar pelaksanaan dasar berkenaan.

Beliau berkata dasar berkenaan bersifat seimbang dari segi ekonomi dan sosial, selain memberi isyarat bahawa Malaysia serius terhadap hak pekerja serta tadbir urus pasaran buruh asing yang beretika.

“Secara prinsipnya, ia perkara yang betul untuk dilakukan. Dari segi undang-undang, ia selaras dengan kehendak peraturan buruh antarabangsa dan dari segi praktikal, ia memberi kesan segera kepada negara,” katanya.

Seminar sehari itu dianjurkan oleh Grant Thornton dan dihadiri lebih daripada 266 peserta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan