JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Pindaan RUU Sistem Insurans Pekerjaan Pamer Komitmen Kerajaan Terhadap Perlindungan Sosial

04/11/2025 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 di Parlimen hari ini, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan sistem perlindungan sosial negara kekal inklusif, mampan dan berdaya tahan.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI MLC) Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata ia juga memperkukuh peranan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memastikan setiap pekerja di Malaysia dilindungi dan berpeluang kembali ke pasaran kerja dengan lebih cepat dan berkesan.

“Pindaan RUU ini bertujuan meningkatkan faedah kepada pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang kehilangan pekerjaan, menggalakkan mobiliti tenaga kerja, menambah baik kecekapan operasi PERKESO untuk melaksanakan program penempatan pekerjaan semula serta memperkukuh tadbir urus pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

“Antara penambahbaikan utama termasuk peningkatan kadar faedah sedia ada dan pengenalan faedah baharu iaitu Elaun Bantuan Mobiliti (EBM), membolehkan pencarum yang kehilangan pekerjaan boleh menikmati manfaat perlindungan dan sokongan latihan sehingga RM 25,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Mohamed Shafie berkata UNI-Malaysia Labour Centre (UNI-MLC) yang mewakili 126 buah kesatuan menyambut baik usaha Menteri Sumber Manusia Steven Sim atas usaha murni beliau membentangkan pindaan Akta 800 itu kerana ia bakal memberi manfaat terbaik kepada kaum pekerja di negara ini.

Menurut beliau, pindaan itu juga selari dengan keputusan Jemaah Menteri bahawa Akta 800 perlu disemak semula agar lebih dinamik dan responsif terhadap keperluan pasaran buruh semasa.

Terdahulu Sim membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat yang bertujuan memperkukuh sistem perlindungan sosial negara dan memperluas perkhidmatan pekerjaan kepada lebih ramai rakyat. 

KESUMA menerusi kenyataan memaklumkan pindaan RUU itu juga bagi meningkatkan faedah kepada pencarum PERKESO, menggalakkan mobiliti tenaga kerja, menambah baik kecekapan operasi PERKESO untuk melaksanakan program penempatan pekerjaan semula serta memperkukuh tadbir urus pelaksanaan SIP.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan