KOTA KINABALU, 3 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) membentuk pemimpin muda yang berjiwa rakyat dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri secara langsung.
Beliau berkata program diperkenalkan kerajaan Sabah itu berjaya membuka laluan kepada anak muda untuk berkembang dan menyumbang dalam ekosistem pembangunan negeri.
"Program Felo SMJ adalah platform penting bukan hanya untuk membina pengalaman, tetapi juga membentuk jati diri, integriti dan ciri-ciri kepimpinan unggul," katanya berucap pada majlis penyampaian watikah Felo SMJ 4.0 kepada 42 anak muda di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Hajiji berkata program itu seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam kerangka Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menjadikan pembangunan modal insan sebagai nadi utama dalam membina masa depan negeri yang mampan dan berdaya saing.
"Kita tidak hanya mahu melahirkan pemimpin yang cemerlang dari segi ilmu dan kemahiran, tetapi yang lebih penting, pemimpin berjiwa rakyat, yang mampu menyelami denyut nadi komuniti, membawa suara rakyat ke meja dasar dan menjulang semangat cinta akan negeri ini melebihi kepentingan diri," katanya.
Hajiji turut menyeru Felo SMJ memanfaatkan peluang itu sebaik-baiknya untuk mengetahui dunia sebenar pentadbiran kerajaan negeri, memahami bagaimana dasar dilakar, keputusan digubal dan bagaimana jentera kerajaan digerakkan untuk rakyat.
Beliau berkata golongan belia bukan sekadar pelapis, tetapi juga aset penting yang menjadi pewaris masa depan yang sedang dibentuk hari ini.
Hajiji memuji semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengambil bahagian dalam program Felo SMJ kerana sentiasa komited dan konsisten menyokong pembangunan modal insan di Sabah.
Sebanyak 20 GLC terlibat dalam pelaksanaan Program Felo Sabah Maju Jaya kali ini berbanding 10 GLC sebelum ini, yang menggambarkan kesepakatan kukuh antara kerajaan negeri dan GLC dalam melahirkan barisan pemimpin muda Sabah pada masa depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial