JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Operator Dron Pertanian Disaran Mohon Lesen Kendali Daripada CAAM - MARDI

04/11/2025 05:18 PM

KOTA BHARU, 4 Nov (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyarankan semua operator dron pertanian supaya memohon lesen kendalian dron yang sah daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan MARDI Dr Ahmad Safuan Bujang berkata permohonan lesen itu bagi memastikan aktiviti penggunaan dron dalam sektor pertanian dapat dijalankan secara selamat dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata bagi menyokong penggunaan teknologi terutamanya dalam sektor pertanian, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui MARDI melancarkan inisiatif pemberian lesen secara percuma kepada 350 operator dron di seluruh negara.

“Lesen ini diberikan menerusi pelaksanaan program Jelajah Dron Pertanian 2025 dengan kerjasama CAAM dengan peserta akan memahami aspek peraturan dan keselamatan mengendalikan dron berpandukan modul baharu iaitu Remote Certificate of Competency-Agriculture Light (RCOC-AL).

“Untuk menerbangkan dron, mereka perlu mengetahui peraturan ditetapkan, selain perlu mempunyai kemahiran agar proses mengendalikan dron dapat dilakukan dengan selamat termasuk mengetahui kawasan larangan penggunaanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Jelajah Dron Pertanian 2025 Zon Timur di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Khalid Samad.

Sementara itu, Khalid berkata KADA menggalakkan petani dan pesawah di bawah seliaannya menggunakan teknologi dron dalam aktiviti pertanian bagi meningkatkan kecekapan kerja serta hasil pengeluaran padi.

Beliau berkata penggunaan dron kini menjadi antara pendekatan moden yang berpotensi besar dalam sektor pertanian kerana mampu mengurangkan kos operasi dan masa, selain memastikan kadar penggunaan baja dan racun lebih tepat.

“Menerusi penggunaan dron, penyemburan baja dan racun serta pemantauan dapat dilakukan secara seragam serta menjimatkan tenaga buruh, selaras dengan hasrat KADA memperkasakan sektor pertanian menggunakan teknologi baharu termasuk penggunaan dron.

“Dengan adanya penggunaan teknologi dalam sektor pertanian ini, diharap ia dapat menarik minat golongan muda menceburi bidang pertanian seiring dengan hala tuju negara ke arah pertanian moden dan bertepatan dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan