JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

SIBS Terus Diperkasa, Jadikan Selangor Destinasi Utama Pelaburan - Amirudin

04/11/2025 10:54 PM

SHAH ALAM, 4 Nov (Bernama) -- Penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) akan terus diperkasakan termasuk dengan meneroka lokasi penganjuran di luar Selangor dan Kuala Lumpur, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata selepas lapan tahun penganjuran, SIBS juga perlu dikembangkan dengan skop serta penyertaan lebih luas selain menonjolkan sub sektor atau komponen baharu seperti ekonomi perkhidmatan agar penganjurannya mampu menterjemah visi menjadikan Selangor sebagai destinasi utama pelaburan.

"Dari segi penyertaan sangat bagus, jadi tidak mustahil untuk kita menganjurkannya bukan lagi dalam konteks Selangor dan Kuala Lumpur sahaja … mungkin akan dilebarkan ke tempat lain termasuk luar negara.

"Ini kerana sektor atau komponen tertentu, pasarannya bukan di Malaysia sahaja. Ia seluas kawasan ASEAN yang ada lebih 600 juta orang, dan sesuai dengan satu daripada tujuan SIBS, iaitu Gateway to ASEAN, atau mempromosi ASEAN sebagai kawasan baik untuk pelaburan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri jamuan makan tengah hari Invest Selangor Berhad, selaku penganjur SIBS 2025 bersama media, yang turut dihadiri Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Datuk Hasan Azhari Idris di ibu negara, dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Amirudin berkata cadangan pemerkasaan SIBS akan dirancang dan diteliti oleh pihak Invest Selangor termasuk dari segi kos supaya tujuan asas penganjuran, iaitu untuk mempromosi perniagaan dan Selangor sebagai destinasi pelaburan terbaik di Asia Tenggara dicapai.

Berhubung potensi transaksi berjumlah RM8.17 bilion yang direkodkan pada SIBS 2025 yang berlangsung dari 8 hingga 11 Okt lepas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Amirudin berkata nilai berkenaan memang dalam jangkaan, dan pihaknya tidak merasa kecewa mengambil kira jumlah hari penganjuran sidang tahunan itu.

 "Itu memang dijangka sebab tahun lepas kita buat dua kali. Bila dianjur dua kali setahun, sudah pasti jumlah hari atau minggunya lebih lama, dan jumlah pameran juga akan jadi dua kali. Kalau ikut format ini, RM8 bilion yang dijana (sekali penganjuran) akan menjadi RM16 bilion kerana acara dibuat dua kali.

"Selain itu, kita juga mengambil sebahagian daripada ruang pameran sektor makanan atau Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor (SIE F&B) yang mempunyai transaksi yang bagus untuk membuka ruang pengenalan subsektor ekonomi lain seperti Taman Perindustrian dan Pelaburan Selangor (SPARK)," katanya.

Amirudin berkata penganjuran SIBS tidak hanya menumpukan kepada jumlah transaksi semata-mata, sebaliknya turut menjadi platform strategik memperkenalkan bidang ekonomi baharu selain memperkukuh ekosistem ekonomi negeri melalui pertemuan dan pengenalan antara pelabur, pemain industri dan agensi kerajaan negeri berkaitan.

"Jadi, kesan transaksi itu bukanlah segala-galanya, malah kita juga ada ekonomi perkhidmatan merangkumi lebuh raya, jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang, perkhidmatan air dan elektrik yang masih belum ditonjolkan sebagai satu pasaran ekonomi dan berpotensi memberi manfaat kepada ekonomi negeri dan negara," katanya.

Selain Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) dan Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS),  SIBS turut merangkumi enam komponen utama lain, iaitu Taman Perindustrian dan Pelaburan Selangor (SPARK), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC), Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor (SIE F&B) dan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC).

Daripada potensi transaksi berjumlah RM8.17 bilion yang direkodkan, SPARK mencatat nilai potensi transaksi tertinggi, iaitu RM6.96 bilion, diikuti SABC (RM844 juta), SDEC (RM208 juta), SIE F&B (RM96.97 juta), SAS (RM52.07 juta) dan SICS (RM5.1 juta).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan