JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Sabah Penerima Terbesar Peruntukan Skim TSPKS 2.0

05/11/2025 07:18 PM

SANDAKAN, 5 Nov (Bernama) -- Sabah menjadi penerima terbesar peruntukan bagi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 dengan RM61 juta disalurkan dalam bentuk geran padanan daripada RM100 juta dana disediakan kerajaan pada tahun ini.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata skim bagi kerja-kerja penanaman semula sawit yang diuruskan Agrobank itu mencatatkan 796 permohonan daripada pekebun kecil persendirian di Sabah yang diluluskan sehingga kini.

“Permohonan diluluskan dengan keluasan 3,420.04 hektar, membabitkan peruntukan RM61.56 juta termasuk Sandakan sebanyak 34 permohonan dan keluasan 155.76 hektar melibatkan peruntukan RM2.8 juta.

“Sabah menjadi penerima terbesar skim untuk kerja-kerja penanaman semula sawit kerana pada tahun lepas peruntukan disalurkan ke Sabah RM41 juta dan bagi tahun ini, setakat ini melebihi RM61 juta, inilah cara MADANI bekerja,” katanya selepas merasmikan program santuni pekebun kecil sawit di sini hari ini.

Terdahulu, Chan berkata setakat 15 Okt lepas, 30,768 pekebun kecil di Sabah memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO) dengan melibatkan keluasan 191,517.96 hektar sawit.

“Pelaksanaan MPSO bukan sekadar berupaya meningkatkan penerimaan pasaran global tetapi juga memberi banyak manfaat kepada pekebun kecil seperti pengurusan Amalan Pertanian Baik (GAP), penjagaan alam sekitar termasuk peningkatan kualiti hasil,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau berkata dalam Belanjawan 2026 kerajaan memperuntukkan RM120 juta bagi membela serta memperkasa kesejahteraan pekebun kecil komoditi negara termasuk sawit, getah, koko, lada dan kenaf.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan