JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Hanya Sijil Pengesahan Halal Malaysia Diiktiraf Di Melaka - JAIM

05/11/2025 07:34 PM

MELAKA, 5 Nov (Bernama) -- Hanya Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diiktiraf di Melaka, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.

Beliau yang juga Pengerusi Panel Pengesahan Halal Negeri Melaka berkata pihaknya juga bersetuju dengan penegasan JAKIM bahawa penggunaan istilah seperti 'Muslim Choice' atau seumpamanya bukanlah satu perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf pihak berkuasa.

"Perbuatan itu boleh mengelirukan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis dan melanggar peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

"Selain itu, sebarang penggunaan logo, simbol, istilah, kenyataan atau ungkapan yang membawa maksud halal dan boleh dimakan umat Islam yang dikeluarkan mana-mana pihak selain JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah tidak sah serta menyalahi peraturan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Md Azhan berkata penggunaan logo berkenaan boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara serta mengelirukan pengguna dan JAIM akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap logo halal palsu atau sijil yang dikeluarkan pihak yang tidak diiktiraf dengan pemeriksaan boleh dibuat melalui portal https://myehalal.halal.gov.my/portal-halal.

Md Azhan berkata orang awam juga digesa melaporkan kepada JAIM sekiranya terdapat keraguan terhadap status halal sesuatu produk, premis makanan atau restoran.

“Keprihatinan pengguna terhadap status halal bukan sahaja melindungi diri dan keluarga daripada perkara syubhah malah menyumbang kepada pembangunan industri halal yang berintegriti di Melaka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan