JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Taufan Kalmaegi: Malaysia Ucap Takziah Kepada Filipina

06/11/2025 12:21 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada rakyat Filipina susulan kehilangan nyawa serta kemusnahan teruk akibat Taufan Kalmaegi yang melanda negara itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau amat berdukacita atas kemusnahan teruk berpunca daripada taufan berkenaan, yang turut mengakibatkan banjir besar, tanah runtuh serta kemusnahan rumah dan infrastruktur.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa serta semua yang terkesan akibat tragedi ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata Malaysia menyatakan solidariti dan doa supaya diberikan kekuatan kepada rakyat Filipina dalam usaha mereka membina semula komuniti yang terjejas akibat bencana itu.

Media semalam melaporkan, sebanyak 706,549 orang di 24 wilayah terjejas akibat Taufan Kalmaegi, termasuk 436,911 penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing, menurut agensi pengurusan bencana negara itu.

Setiap tahun, Filipina berdepan purata 20 taufan tropika. Antara paling dahsyat pernah melanda negara itu ialah Taufan Haiyan pada November 2013, mengorbankan 6,300 nyawa dan meninggalkan kesan kemusnahan yang besar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan