JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kelantan Bentang Belanjawan 2026, Defisit RM86.2 Juta

06/11/2025 04:20 PM

KOTA BHARU, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.43 bilion dengan defisit RM86.2 juta.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud ketika membentangkan belanjawan bertemakan ‘Kelantan Sejahtera: Prihatin Rakyat, Ekonomi Berkat, Negeri Rahmat’ berkata jumlah defisit itu berkurangan RM6.82 juta iaitu 7.33 peratus berbanding Belanjawan 2025 sebanyak RM93.02 juta.

“Pengurangan ini dicapai melalui pelarasan semula peruntukan di bawah Wang Terkanun serta penyusunan semula pinjaman kerajaan negeri yang kini diuruskan melalui Kumpulan Wang Amanah Pinjaman Kerajaan Negeri Kelantan. 

“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kawalan fiskal tetapi turut memperkukuh tadbir urus kewangan kerajaan negeri bagi memastikan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan perbelanjaan awam,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata anggaran hasil negeri pada 2026 dijangka diperoleh sebanyak RM1.02 bilion iaitu peningkatan RM19.24 juta atau 1.93 peratus berbanding anggaran hasil pada 2025 berjumlah RM997.26 juta. 

“Anggaran hasil adalah meliputi Hasil Cukai sebanyak RM260.8 juta, Hasil Bukan Cukai (RM332.99 juta) dan Terimaan Bukan Hasil (RM422.71 juta).

“Peningkatan hasil cukai 13.14 peratus disumbangkan oleh sasaran kutipan cukai tanah berjumlah RM104.99 juta, sasaran tunggakan cukai tanah RM54.57 juta dan hasil baharu di bawah Jabatan Perhutanan Negeri iaitu cukai hasil hutan yang lain sebanyak RM3.6 juta telah dikutip mulai pertengahan 2025,” katanya.

Beliau berkata anggaran hasil bukan cukai berkurang RM21.94 juta disebabkan oleh pengurangan anggaran bayaran premium tanah iaitu RM90.35 juta berbanding RM100.86 juta pada 2025 dan anggaran bayaran pampasan dalam negeri dijangka menyusut RM10 juta disebabkan oleh berkurangan jumlah kelulusan bagi mengusahakan hasil hutan. 

“Bagaimanapun, pengurangan ini masih dapat diimbangi dengan peningkatan anggaran bayaran permit perhutanan daripada RM8 juta pada 2025 kepada RM10 juta pada 2026, hasil baharu di bawah kod hasil lesen kayu getah sebanyak RM0.4 juta dan lain-lain,” katanya.

Persidangan DUN bersambung Ahad ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan