JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

PAC Mulakan Prosiding Isu Pengurusan Kenderaan Dan Sistem e-Jamin

06/11/2025 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen telah memulakan dua prosiding berhubung isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025, melibatkan pengurusan kenderaan kerajaan di bawah perjanjian konsesi dan kutipan deposit wang jaminan jenayah di bawah sistem e-Jamin.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata prosiding pengurusan kenderaan diadakan pada 3 Nov dengan memanggil Kementerian Kewangan (MOF), sementara prosiding berhubung sistem e-Jamin berlangsung pada 4 Nov melibatkan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

“Berhubung perjanjian konsesi kerajaan di bawah MOF, PAC akan memanggil pihak Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri selaku tiga kementerian yang memiliki kenderaan tertinggi di bawah perjanjian konsesi itu.

“PAC juga akan memanggil pihak syarikat SPANCO Sdn Bhd dalam prosiding nanti,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Mas Ermieyati berkata berhubung sistem e-Jamin, PAC akan meneruskan prosiding seterusnya dengan memanggil syarikat Dapat Vista (M) Sdn Bhd, selaku kontraktor yang membangunkan sistem berkenaan serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul bersetuju dengan cadangan PAC untuk menganjurkan Persidangan PAC Kebangsaan pada tahun depan.

Mas Ermieyati berkata ia susulan perjumpaan bersama Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri, Setiausaha serta wakil Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ini, antaranya bagi memperkukuh jaringan kerjasama dan perkongsian tadbir urus antara PAC Parlimen dan PAC Negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan