KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil tindakan tegas dengan menangguhkan pemberian subsidi diesel dan menyenarai hitam 119 kapal dan bot nelayan setakat Ogos lepas, sebagai antara usaha menangani isu ketirisan bahan bakar tersebut.
Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sejak 2019, kerajaan juga telah mengehadkan kuota diesel bersubsidi bagi sektor nelayan kepada 70 juta liter sebulan daripada 80 juta liter sebulan pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata kuota itu bagi membolehkan nelayan pesisir pantai, nelayan Zon A, Zon B dan Zon C mendapat manfaat bekalan diesel bersubsidi pada kadar RM1.65 seliter untuk menampung sebahagian kos operasi masing-masing.
"Bagaimanapun, nelayan laut dalam Zon C2 tidak layak untuk mendapat diesel bersubsidi memandangkan mereka merupakan nelayan komersial yang lazimnya mempunyai kekuatan kewangan kukuh.
"Ia juga merupakan satu usaha kerajaan untuk menangani isu ketirisan minyak diesel terutama di perairan laut dalam," katanya dalam ucapan penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang membangkitkan mengenai isu ketirisan subsidi diesel.
Selain itu, Amir Hamzah berkata kerajaan melalui LKIM juga telah membangunkan aplikasi MyIsytihar sejak 2024 sebagai langkah kawalan supaya nelayan yang menerima subsidi diesel membuat pengisytiharan tangkapan hasil laut kepada LKIM.
Beliau berkata pelbagai operasi penguatkuasaan terus diperkasakan dengan kerjasama strategik agensi penguatkuasaan menerusi operasi bersepadu bagi memperkukuh kawalan di sempadan serta mengekang aktiviti penyeludupan melalui laluan darat dan laut.
Menyentuh kesan penyasaran subsidi diesel kepada pesawah dan petani, Amir Hamzah berkata 180,000 petani, penternak dan pekebun kecil mendapat manfaat daripada Bantuan Tunai Budi Agrikomoditi dengan jumlah bayaran RM350 juta, setakat 30 Sept 2025.
Bantuan tersebut meliputi sumbangan RM200 sebulan atau RM2,400 setahun kepada golongan petani, penternak, pekebun kecil yang berdaftar dengan kementerian berkaitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial