JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

KSN Dahului Senarai 238 Penerima Darjah, Pingat Kebesaran Perak

07/11/2025 12:22 AM

IPOH, 6 Nov (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 238 penerima darjah kebesaran serta pingat negeri Perak bersempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-69 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, yang disambut pada 7 Nov.

Shamsul Azri, 56, yang merupakan Ketua Setiausaha Negara ke-16 selepas dilantik pada 12 Ogos 2024, dikurniakan darjah Darjah Dato’ Seri Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, Peguam Cara Negara II Datuk Umar Saifuddin Jaafar dan Orang Besar Empat Negeri Perak Datuk Dr Syed Jaafar Syed Aznan menerima Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dianugerahkan Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia Datuk Seri Ir Roslan Ismail dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri Perak A. Sivanesan; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Khairudin Abu Hanipah; Pengarah Kesihatan Negeri Perak Dr Feisul Idzwan Mustapha dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Sayani Saidon antara 17 individu yang menerima Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang turut membawa gelaran Datuk.

Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin juga dikurniakan DPMP.

Bekas Ahli Dewan Negeri Ayer Kuning Allahyarham Ishsam Shahruddin dikurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) secara anumerta selain 28 lagi individu turut dikurniakan pingat yang sama. 

Enam individu pula menerima Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan; Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) (13 penerima);  Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) (14 penerima); dan Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) (39 penerima).

Sementara itu, pemain badminton negara Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang menjuarai Kejohanan Dunia 2025 di Paris, Perancis baru-baru ini, merupakan antara 58 penerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT).

Selain itu, 46 penerima dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) manakala Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) dikurniakan kepada sembilan penerima.

Terdahulu dalam sidang media, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan sebanyak dua sesi.

Beliau berkata kedua-dua sesi istiadat pada 9 dan 15 Nov itu, akan berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Mohd Zahidi berkata sambutan pada tahun ini dimulakan dengan Majlis Bacaan Surah Yassin dan Doa Selamat yang akan diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada esok sebelum waktu solat Jumaat. 

"Majlis yang sama akan diadakan di semua masjid daerah di seluruh Perak diketuai oleh Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing," katanya.

Selain itu, Sultan Perak turut berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari yang akan diagihkan kepada 9,900 banduan di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Pusat Koreksional Batu Gajah, pada esok. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan