JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

SM Imtiaz Besut Rangkul Tiga Pingat Pertandingan Inovasi Antarabangsa Di China

06/11/2025 07:30 PM

JERTIH, 6 Nov (Bernama) -- Lapan pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Besut mengharumkan nama negara apabila meraih tiga pingat pada Sidang Kemuncak Teknologi Inovatif Antarabangsa (ITTS) 2025 di Beijing, China bulan lepas. 

Pengetua SM Imtiaz Besut Termezi Jusoh berkata satu pingat titanium dan dua pingat emas itu dirangkul semua pelajar tingkatan empat yang terdiri daripada tiga kumpulan menerusi tiga ciptaan produk dan aplikasi mereka.

“Produk dan aplikasi yang dihasilkan oleh kesemua pelajar yang menghafaz 30 juzuk al-Quran itu adalah INGAT (Immediate, Notification, Generated, Automatically and Triggered) yang memenangi pingat titanium dan Bedlock serta I-Tasheel yang masing-masing memenangi pingat emas,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Memperincikan kesemua produk dan aplikasi yang berjaya mendapat tempat di hati para juri dalam pertandingan yang berlangsung dari 23 hingga 29 Okt itu, Termezi berkata INGAT adalah produk yang dicipta untuk mengelak daripada berlaku kejadian ibu bapa yang tertinggal bayi di dalam kenderaan. 

Beliau berkata menerusi produk itu, sebuah alat sensor dipasang di bawah tempat duduk pemandu dan penumpang kereta bagi mengesan sekiranya bayi atau anak kecil tertinggal di dalam kereta.

“Setelah itu, alat berkenaan akan menghantar notifikasi pemberitahuan kepada pemandu terutama ibu bapa menerusi telefon bimbit mereka sekiranya ada bayi atau kanak-kanak yang ditinggalkan.

“Selain itu, alat berkenaan juga mempunyai papan pemuka, lampu kecemasan dan bunyi amaran untuk menarik perhatian orang ramai bagi mempercepatkan proses penyelamatan,” katanya.    

Termezi berkata Bedlog pula adalah produk aplikasi yang dibangunkan untuk memudahkan pihak sekolah atau warden mengesan pelajar asrama yang tidur lewat, sekali gus dapat mengesan sekiranya berlaku kejadian buli di asrama.

“Alat khas itu diletakkan di bawah katil pelajar dan ia dapat mengesan pergerakan pelajar melalui beban serta suhu badan. Sekiranya ada pergerakan dan katil kosong, notis pemberitahuan akan dihantar ke telefon bimbit warden asrama menerusi aplikasi,” katanya.

Dalam pada itu, I-Tasheel pula adalah satu inovasi yang membantu pelajar menguasai pembelajaran linguistik bahasa Arab dengan lebih mudah dan berkesan.

Beliau berkata melalui produk itu, bahan pembelajaran linguistik bahasa Arab daripada buku telah dipindahkan ke dalam bentuk grafik dan video interaktif, selain turut mengandungi sesi soal jawab dalam bentuk permainan. 

“Produk ini diguna pakai dalam pembelajaran harian di sekolah kami dan sebuah lagi sekolah menengah agama di Lembah Klang. Ia juga dirancang untuk dikomersialkan menerusi kerjasama dengan beberapa institusi berkaitan di negara ini,” katanya. 

Termezi berkata para pelajar yang menyertai pertandingan antarabangsa berprestij itu telah dibantu sejak awal tahun ini oleh guru pembimbing iaitu Halisa Mohd Darus, Suhaila Salleh dan Muhammad Badruzzaman Hassan. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan