IPOH, 7 Nov (Bernama) -- Kawalan keselamatan terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah dipertingkatkan bagi memastikan tahap keselamatan lebih menyeluruh susulan insiden serangan ke atas baginda ketika sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, 31 Ogos.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata satu mesyuarat jawatankuasa melibatkan anggota daripada kumpulan istana bagi menyelaras dan memperkukuh kawalan keselamatan, telah diadakan untuk memastikan insiden berkenaan tidak berulang.
“Kita telah meningkatkan tahap keselamatan, khususnya apabila diadakan sesuatu acara yang melibatkan Tuanku dan kerabat diraja di atas pentas utama,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Istana Perak.
Beliau berkata demikian pada sidang media Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Negeri Perak bersempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-69 Sultan Nazrin, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.
Mohd Zahidi berkata disebalik insiden berkenaan, Sultan Nazrin terus kekal menzahirkan sifat mesra rakyat dengan terus mendekati orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat .
Beliau berkata orang ramai tidak akan menghadapi sebarang kesulitan sekiranya memohon perkenan mendekati atau bergambar dengan baginda, terutamanya semasa acara-acara rasmi.
“Jika ia dilakukan secara teratur dan sempurna, sudah pasti Tuanku Sultan Perak sama sekali tidak akan menjauhkan diri apabila dimohon perkenan untuk bergambar.
“Tambahan pula sekiranya terdapat kanak-kanak yang memohon untuk bergambar dengan baginda atau pun Raja Permaisuri Perak (Tuanku Zara Salim), baginda berdua tidak pernah menolak kerana sangat sukakan kanak-kanak,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita didakwa di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin.
Pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Ogos lepas, seorang wanita ditahan kerana menceroboh pentas utama dan cuba menyerang Sultan Nazrin ketika lagu kebesaran negeri berkumandang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial