JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Sistem Pendidikan Perlu Beri Ruang Pelajar Berfikir, Berhujah - PM Anwar

07/11/2025 08:11 PM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sistem pendidikan perlu memberi ruang kepada pelajar untuk berfikir, berhujah dan menyatakan pandangan berdasarkan ilmu bagi melahirkan masyarakat yang mampu berfikir secara kritis serta berani menegakkan kebenaran.

Beliau berkata selari dengan kemajuan negara, sistem pendidikan tidak seharusnya hanya menumpukan kepada peperiksaan dan hafalan semata-mata, selain perlu bebas daripada cara fikir terjajah dan jumud.    

“Jumud ertinya terlalu taasub dengan cara dan kaedah lama. Tak mahu pembaharuan, tak mahu teknologi baharu. Tidak bersedia menerima idea-idea baharu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 di sini hari ini.

Justeru, Anwar memuji penganjuran FOI oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan menyifatkannya sebagai platform penting untuk mencambah pemikiran segar dan terbuka selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

“FOI ini adalah bukti keterbukaan kerajaan dalam menggalakkan wacana segar, berani dan berpaksikan nilai serta akhlak,” kata beliau.

FOI 2025 yang berlangsung dari 4 Nov hingga esok, dijangka menarik hampir 500,000 pengunjung fizikal dan sekitar dua juta peserta termasuk 1.5 juta peserta maya dari seluruh dunia.

Memasuki tahun kedua penganjurannya, FOI 2025 bukan sekadar medan pertemuan idea tetapi juga wadah utama untuk merealisasikan solusi berasaskan ilmu dan kreativiti demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Malaysia kini menjadi tumpuan dunia hasil pelaksanaan dasar transformasi digital berteraskan nilai, selain muncul sebagai hab serantau bagi pembangunan semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

“AI adalah satu kemestian. Kalau tidak mahu AI, kita jumud terbelakang, tetapi AI mesti berdasarkan nilai. AI bukan menteknologikan manusia, tapi memanusiawikan teknologi ini,” kata Anwar.

Beliau berkata Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang hebat sekiranya kemajuan teknologi disertakan dengan nilai kemanusiaan berasaskan prinsip keadilan dan kasih sayang, bukannya melalui politik kebencian serta budaya mencerca dan memaki hamun.

“Kekuatan bangsa bukan terletak pada permusuhan antara kaum atau agama, tetapi pada kemampuan rakyat menegakkan nilai kemanusiaan serta menyemai semangat saling menghormati dan kasih sayang,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan