JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

FOI Putrajaya Bakal Diperluas Ke Peringkat ASEAN - Zambry

07/11/2025 08:47 PM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025 bakal diperluaskan ke peringkat serantau dengan Malaysia dicadangkan menjadi pusat tetap penganjuran program itu, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata cadangan itu tercetus hasil perbincangan bersama Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN yang menghadiri FOI 2025, termasuk dari Indonesia dan Filipina, yang melihat potensi besar program berkenaan sebagai platform serantau dalam bidang pendidikan tinggi dan pembangunan idea baharu.

“Ini sesuatu yang bagi mereka (rasa) agak istimewa kerana tidak berlaku di kebanyakan tempat, khususnya dalam ASEAN, program yang dianjurkan oleh kerajaan biasanya diadakan di peringkat universiti tetapi di Malaysia, kita menjadikannya sebagai satu program menggerakkan anak-anak muda tentang idea,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutup FOI Putrajaya yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Zambry berkata cadangan itu turut disokong Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn yang mencadangkan supaya FOI dinaik taraf sebagai program rasmi di bawah Program Pendidikan Tinggi ASEAN.

“Kami harap program ini dapat dijadikan acara terus-menerus selepas peringkat kebangsaan, mungkin sekurang-kurangnya satu hari untuk peringkat ASEAN yang bersama menteri-menteri, profesor dan universiti dari seluruh rantau ini,” katanya.

Zambry berkata langkah itu akan menjadikan Malaysia sebagai hab pemikiran dan inovasi pendidikan tinggi di rantau ASEAN selaras dengan aspirasi kerajaan MADANI untuk memperkukuh diplomasi ilmu dan jaringan akademik serantau.

Terdahulu, dalam ucapan penutup, Zambry berkata FOI diterajui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records dengan gelaran Most Intellectual Discourse Sessions in an Innovation Ideas Event.

Beliau berkata FOI yang bakal melabuhkan tirai esok telah menarik 300,000 pengunjung, dengan lebih 120 program yang menghidupkan wacana sepanjang FOI, termasuk forum dasar, wacana ilmiah, bengkel masyarakat, pameran universiti, peluang pekerjaan, pertandingan robotik dan persembahan seni.

Selain itu, terdapat lebih 200 pavilion dan reruai dengan penyertaan lebih 2,000 pempamer serta menyaksikan lebih 100 pertukaran memorandum persefahaman (MoU), memorandum perjanjian (MoA) serta pelancaran produk bernilai lebih RM160 juta.

Zambry berkata idea yang dicetuskan dan dinamakan sebagai IdeaVault iaitu mercu tanda ilham KPT, lahir daripada aspirasi besar untuk mengangkat kreativiti rakyat sebagai nadi kemajuan negara.

Beliau berkata IdeaVault berjaya mengumpul hampir 10,000 idea yang dihantar dari seluruh negara sepanjang penganjuran FOI dan daripada jumlah itu, ribuan idea telah dianalisis menggunakan kecerdasan buatan (AI) sebelum 500 idea disenarai pendek, 100 finalis tampil mempersembahkan visi mereka dan akhirnya 15 pemenang utama diumumkan.

Memasuki tahun kedua, FOI Putrajaya bukan sahaja berperanan sebagai platform pertukaran idea, malah menjadi forum utama untuk mengubah ilmu dan kreativiti menjadi penyelesaian yang memajukan kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara.

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan