Daripada Erda Khursyiah Basir
MANAMA (BAHRAIN), 7 Nov (Bernama) -- Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa malam ini meraikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Majlis Santapan Negeri di Istana Sakhir, di sini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Istana Sakhir, disambut mesra Raja Hamad.
Majlis berkenaan dimulakan dengan acara tertutup khusus untuk kerabat diraja pada 7.15 malam waktu tempatan (12.15 tengah malam waktu Malaysia).
Mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj.
Majlis Santapan Negeri itu turut disertai Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Tan Sri Dr Azmi Rohani, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Bahrain Datuk Shazryll Zahiran.
Acara rasmi pada malam ini merangkumi bacaan ayat suci al-Quran di Bilik Majlis Negara, diikuti titah oleh Raja Hamad dan Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim tiba di sini pada Khamis, selepas menyempurnakan lawatan negara empat hari ke Arab Saudi.
Ini merupakan lawatan negara keenam Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi, sekali gus menjadi detik bersejarah hubungan Malaysia-Bahrain sebagai lawatan diraja pertama sejak 1974.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial