Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan
RIYADH, 6 Nov (Bernama) -- Lawatan negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Arab Saudi yang berakhir hari ini, menandakan lembaran baharu hubungan persahabatan yang erat, saling menghormati dan komitmen bersama antara dua negara.
Lawatan bersejarah itu mengukuhkan lagi ikatan kerohanian yang mendalam dan kerjasama yang semakin berkembang antara Malaysia dengan Arab Saudi yang bersatu dengan kepercayaan dan visi bersama untuk keamanan, kemakmuran dan pembangunan serantau.
Selain itu, lawatan negara berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam.
Lawatan ini ialah lawatan negara kelima Sultan Ibrahim sejak menaiki takhta, selepas Singapura, China, Brunei dan Rusia.
Sepanjang lawatan empat hari, Yang di-Pertuan Agong diberi sambutan negara di Istana Al-Yamamah di Riyadh.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud untuk bertukar-tukar pandangan tentang pelbagai perkara berkepentingan bersama.
Sultan Ibrahim bertitah pertemuan di Istana Al-Yamamah berlangsung dalam suasana yang penuh mesra serta menyentuh pelbagai isu yang mempunyai kepentingan antara dua negara.
"Ini merupakan pertemuan julung-julung kami berdua dan Putera Mohammed sangat berpengetahuan dalam pelbagai perkara yang dibincangkan. Saya turut berkongsikan beberapa pandangan, terutamanya berkenaan pentingnya pelaksanaan dasar yang konsisten dalam kerajaan dan perhubungan antarabangsa.
"Dasar yang konsisten akan membawa kestabilan perhubungan dua hala dan memberikan keyakinan untuk menarik pelaburan kepada sesebuah negara," titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat melawat pusat Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) dan ibu pejabat syarikat haruman terkemuka, Arabian Oud di Riyadh.
Lawatan ini mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 1984.
Arab Saudi ialah rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (USD9.79 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial