JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Majlis Media Malaysia Perlu Bebas, Berintegriti Tetapkan Piawaian Kewartawanan

08/11/2025 03:41 PM

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Majlis Media Malaysia (MMM) perlu bertindak secara bebas dan berintegriti dalam menetapkan piawaian amalan kewartawanan serta mengendalikan aduan awam berkaitan media dengan penuh ketelusan, menurut Kementerian Komunikasi.

Menurut kementerian itu, penubuhan MMM ialah satu reformasi industri media negara yang diyakini akan memperkukuh kredibiliti industri dan etika kewartawanan, di samping memelihara profesionalisme serta kebajikan pengamal media.

Kementerian turut menzahirkan keyakinan MMM mampu melaksanakan tanggungjawabnya secara berkesan dengan kepelbagaian kepakaran dan pengalaman barisan ahli lembaganya, yang mewakili syarikat media, wartawan dan persatuan, serta orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Dengan momentum baharu ini, kementerian komited dalam menyokong peranan MMM bagi memperkaya landskap media yang berwibawa dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap media," menurut kenyataan kementerian hari ini. 

MMM adalah badan bebas yang ditubuhkan sebagai mekanisme kawal selia kendiri industri media negara dan berperanan mempromosikan etika kewartawanan dan kebebasan media.

Semalam, sebanyak 12 individu dipilih menganggotai Lembaga MMM pada mesyuarat agung pertama majlis berkenaan mewakili tiga kategori, iaitu syarikat media, wartawan dan persatuan media serta orang awam dan NGO.

Individu yang dipilih bagi kategori syarikat media ialah C Premesh yang juga bekas pengerusi interim MMM, Pengarang Kumpulan New Straits Times Farrah Naz Abd Karim, Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group Berhad Datin Paduka Esther Ng Sek Yee dan Pengurus Besar The Borneo Post dan Utusan Borneo Wong Yang Yong.

Bagi kategori wartawan dan persatuan media, mereka yang dipilih ialah Mohamad Fauzi Ishak daripada Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM), Mariah Airens Doksil (Persatuan Wartawan Sabah), Mohd Ishak Abdillah Ngah (Kelab Wartawan Terengganu) dan Adie Suri Zulkefli (Kelab Media Elit Kedah).

Kategori orang awam dan NGO pula, individu dipilih ialah Zaharom Nain, Terence Ooi Guan Tseng, Cynthia Lorraine Silva dan Mediha Mahmood.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan