KUALA LUMPUR, Nov 9 (Bernama) -- Hospital Pakar Selgate Rawang (SSH Rawang) dengan kerjasama Pusat Laktasi Kebangsaan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), menganjurkan Jelajah Madani Inisiatif Hospital Mesra Bayi (BFHI) 2025 untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesihatan ibu dan anak.
Kempen seluruh negara itu juga bertujuan menggalakkan penyusuan susu ibu secara eksklusif dan mengukuhkan gerakan akreditasi BFHI dalam kalangan hospital swasta di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif SSH Rawang (Wilayah Tengah) Miranda Harumal berkata program berkenaan mencerminkan komitmen hospital itu dalam membantu keluarga dan membina komuniti lebih sihat.
"Di SSH Rawang, kami percaya bahawa membantu ibu dan keluarga ialah asas kepada komuniti yang lebih sihat. Menerusi inisiatif seperti Program Jelajah Madani BFHI, kami mengesahkan komitmen kami untuk menyediakan penjagaan berlandaskan belas kasihan, berpaksikan keluarga serta memperkasakan wanita dengan pengetahuan dan sokongan yang sewajarnya," katanya dalam kenyataan.
Acara dimulakan dengan pemeriksaan kesihatan asas percuma termasuk pemeriksaan tekanan darah, glukosa dan indeks jisim badan (BMI), diikuti ceramah kesihatan oleh Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Dr Selva Ganesan Sockalingam serta Perunding Pakar Bedah Am dan Robotik Dr Shahril Khalid.
Dr Selva menyampaikan ceramah mengenai isu kesihatan wanita manakala Dr Shahril menekankan kepentingan kesedaran pemeriksaan payudara.
Menurut kenyataan itu, peserta kemudiannya dibawa melawat wad bersalin hospital, perkhidmatan pediatrik dan bilik bersalin yang menawarkan gambaran keseluruhan kemudahan penjagaan kesihatan komprehensif SSH Rawang.
Kemuncak acara ialah upacara pelepasan konvoi 50 penunggang motosikal berkuasa tinggi wanita diketuai Miranda dan pasukan pengurusan kanan hospital yang melambangkan pemerkasaan dan solidariti kaum hawa dalam mempromosikan kesihatan ibu.
Turut hadir pakar-pakar perunding SSH Rawang, kakitangan dan wakil KKM sekali gus mempamerkan komitmen hospital terhadap kesejahteraan keluarga dan penglibatan masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial