GEORGE TOWN, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperluas sistem maklumat pergigian (DIS) bagi meningkatkan kecekapan serta keseragaman perkhidmatan pergigian di seluruh negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setakat ini sebanyak 71 klinik pergigian telah menggunakan sistem berkenaan dan pihaknya menyasarkan 956 klinik akan beroperasi secara digital sepenuhnya menjelang 2027.
“Kita juga kini berada di era kecerdasan buatan (AI) dan sektor kesihatan turut melangkah seiring melalui pelbagai inisiatif pendigitalan kerana pendigitalan ini bukan sekadar soal sistem tetapi cara kerja baharu lebih cepat, tepat dan berpusatkan pesakit.
“Oleh itu, teknologi AI dan 3D-Printing kini turut digunakan dalam pembuatan prostesis gigi, mempercepat rawatan dan meningkatkan ketepatan hasil,” katanya pada Sesi Ramah Mesra Menteri Kesihatan bersama Warga Pusat Pergigian Kanak-Kanak dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (Pergigian) George Town di sini hari ini.
DIS merupakan sistem utama untuk mengakses maklumat pergigian secara menyeluruh, termasuk maklumat klinikal, sumber, pengamal dan tinjauan.
Dzulkefly berkata kesihatan mulut juga kini diiktiraf sebagai sebahagian daripada kesihatan menyeluruh dan kesejahteraan rakyat, justeru, Malaysia menyokong penuh pelaksanaan Pelan Tindakan Kesihatan Mulut Global (GOHAP) 2023-2030 di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta memperkukuh komitmen melalui Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) di Geneva tahun ini.
Beliau berkata penyakit seperti karies gigi dan penyakit gusi kini terbukti mempunyai kaitan rapat dengan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi dan penyakit jantung.
Sehubungan itu, beliau berkata KKM akan terus memperkukuh inisiatif pencegahan dan pendidikan kesihatan mulut, antaranya menerusi Program Kesihatan Pergigian Sekolah yang mendidik amalan penjagaan gigi sejak awal usia dan perkhidmatan pergigian komuniti melalui klinik dan unit bergerak.
“Selain itu, kempen gaya hidup sihat yang menggalakkan pengurangan gula, hentikan vape, serta pemeriksaan pergigian berkala juga akan diperkukuh,” katanya.
Terdahulu, Dzulkefly melawat dan merakamkan penghargaan kepada Institut Latihan Kementerian Kesihatan (Pergigian) George Town yang telah melahirkan lebih 12,000 tenaga profesional pergigian termasuk juruterapi, juruteknologi dan pembantu pembedahan pergigian yang kini berkhidmat di seluruh negara.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk menaik taraf, pembaikan dan pengubahsuaian penyaman udara di blok latihan institut berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial