JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kerajaan Kedah Umum Belanjawan 2026 Berjumlah RM1.33 Bilion Dengan Defisit RM99 Juta

10/11/2025 03:57 PM

ALOR SETAR, 10 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kedah hari ini membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.33 bilion bagi tujuan pengurusan dan pembangunan negeri berkenaan, dengan defisit dianggarkan pada 11.81 peratus atau RM99 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata peruntukan itu melibatkan perbelanjaan mengurus, Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, Kumpulan Wang Pembangunan Hutan dan Kumpulan Wang Bekalan Air.

“Mengambil kira anggaran hasil, peruntukan perbelanjaan mengurus, peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dan Kumpulan Wang Bekalan Air, defisit 2026 dianggarkan sebanyak RM99 juta. 

"Bajet negeri Kedah 2026 ialah bajet tahun pertama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan masih meneruskan agenda Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan The Greater Kedah 2050,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di sini hari ini. 

Muhammad Sanusi berkata bagi tahun hadapan, kerajaan negeri menganggarkan hasil sebanyak RM838 juta dengan peningkatan RM48 juta berbanding anggaran 2025.

Beliau berkata anggaran hasil kutipan pada 2026 akan dibahagikan kepada beberapa kategori, antaranya hasil tanah sebanyak RM554.81 juta, pelbagai hasil (RM232.88 juta), hasil hutan (RM33 juta) dan hasil daerah (RM17.31 juta).

"Peruntukan perbelanjaan mengurus 2026 sebanyak RM937 juta dengan kenaikan berjumlah RM47.1 juta atau 5.29 peratus. Daripada jumlah ini, RM91.4 juta diperuntukkan sebagai Caruman Kumpulan Wang Pembangunan Negeri untuk menampung defisit Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dan Kumpulan Wang Bekalan Air.

"Di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan bagi maksud perbelanjaan tanggungan berjumlah RM87.33 juta dan perbelanjaan bekalan sebanyak RM849.67 juta," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan