JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

RM2 Bilion Diperuntuk Untuk Tingkat Kesalinghubungan Di Sabah - PM Anwar

16/11/2025 12:40 PM

KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meningkatkan kesalinghubungan di Sabah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata peruntukan itu antara lain akan memperluas liputan rangkaian internet dengan keutamaan diberikan kepada kolej, universiti awam dan swasta, serta pejabat kerajaan di negeri ini.

Katanya walaupun projek itu memerlukan sedikit masa, kerajaan komited memastikan rakyat Sabah menikmati akses internet yang lebih baik, terutamanya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan pentadbiran kerajaan.

“MCMC telah menetapkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion untuk tujuan ini. Saya telah umumkan dalam Belanjawan. Projek ini perlukan sedikit masa untuk disiapkan,” katanya pada Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah bersama YAB Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarang Daily Express Datuk James Sarda, dan Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Datuk Lichong Angkui.

Sabah terus menikmati manfaat besar melalui Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion, yang diumumkan Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026.

Menerusi pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), liputan capaian 4G di Sabah meningkat secara signifikan kepada 96.81 peratus sejak program ini dilaksanakan pada 2022, berbanding hanya 73.41 peratus sebelum itu, memberi manfaat kepada tambahan 877,500 penduduk negeri.

Setakat September lepas, liputan Coverage of Populated Area (COPA) bagi 5G di Sabah telah mencapai 69 peratus, hasil usaha bersama Digital Nasional Berhad (DNB) dan usaha itu akan terus diperkukuhkan melalui pelaksanaan tambahan oleh pihak UMobile, yang menyasarkan liputan 5G mencapai 80 peratus di seluruh negeri Sabah.

Menerusi inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) di bawah program JENDELA, sebanyak 608 daripada 703 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi di seluruh Sabah.

Selain itu, sebanyak 5,200 daripada 5,208 stesen pemancar sedia ada telah berjaya dinaik taraf untuk memperluas liputan rangkaian mudah alih, manakala 309,342 premis di seluruh negeri kini dilengkapi capaian gentian optik.

Bagi penyediaan Jalur Lebar menggunakan Teknologi Satelit (BWA) pula, sebanyak 138 lokasi yang dirancang telah siap sepenuhnya dan beroperasi.

Sementara itu, pelaksanaan JENDELA 2, Batch 1 di Sabah dijangka melibatkan 150 tapak dengan anggaran kos berjumlah RM120 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan