GEORGE TOWN, 16 Nov (Bernama) -- Bijak Wang Challenge 2025 menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Cabaran Kuiz Celik Kewangan Terbesar” selepas mencatat penyertaan sebanyak 4,891 peserta dalam tempoh sejam melalui platform digital TikTok LIVE dan laman kuiz interaktif Kahoot!.
Bijak Wang Challenge 2025 merupakan inisiatif literasi kewangan anjuran mySalam bersempena Karnival Celik Kewangan (KCK) Pulau Pinang yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas di Bayan Lepas.
Sijil diserahkan pegawai MBOR Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful Shahrul Azlan Shahriman dan disaksikan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohd Radzuan Mohamed, Ketua Skim mySalam Syuhaib Ithnin dan Pengurus Dasar Awam TikTok Malaysia Mohd Aliffadhli Zakaria.
Ia merupakan pengiktirafan kedua yang diterima selepas mencatat rekod “Siaran Langsung Literasi Kewangan Tanpa Henti Terpanjang” bersempena karnival sama di Tawau, pada Julai lepas.
Syuhaib berkata mySalam merupakan skim perlindungan takaful nasional untuk komuniti B40 yang diuruskan sepenuhnya oleh Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dan merupakan kali pertama program literasi kewangan menggunakan pendekatan digital berskala besar yang menggabungkan gamifikasi dan siaran langsung dengan menyasarkan golongan belia, pelajar universiti serta masyarakat umum.
“Belia hari ini lebih terdedah kepada kandungan digital, justeru kami memilih pendekatan gamifikasi untuk menarik penyertaan golongan terbabit, menjadikan pembelajaran kewangan relevan dengan gaya hidup mereka.
“Platform interaktif seperti Kahoot! dan siaran langsung TikTok bukan sahaja dapat menarik perhatian tetapi turut meningkatkan kadar penyertaan berskala besar dan pendekatan ini membolehkan kami menyampaikan mesej kewangan dengan cara yang lebih menyeronokkan, interaktif serta mudah difahami berbanding kaedah konvensional yang membosankan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Syuhaib menyifatkan pengiktirafan diterima itu sebagai bukti keberkesanan pendekatan dalam menjadikan literasi kewangan lebih inklusif dan mudah diakses oleh masyarakat di seluruh negara.
Pelaksanaan Bijak Wang Challenge 2025 diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (iCATS), Politeknik Kota Bharu serta sekolah teknik.
“Cabaran disertai para pelajar berusia 16 tahun ke atas dan warga pendidik ini bukan sahaja mampu memperluas capaian literasi kewangan, malah memupuk amalan pengurusan kewangan berhemat dalam kalangan generasi muda yang bakal memasuki alam pekerjaan dan menempuh kehidupan berdikari,” katanya.
Beliau berkata sembilan peserta terbaik dalam cabaran itu dipilih menerima hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000, berdasarkan keputusan kuiz dengan tempat pertama dimenangi perunding hartanah Muhammad Safwan Awang Puteh, 32, dari Baling, Kedah, yang membawa pulang RM5,000 manakala hadiah istimewa penyertaan tertinggi RM3,000 diberikan kepada USM.
Dalam pada itu, Syuhaib berkata sebagai pelan jangka panjang, mySalam turut menubuhkan Komuniti Bijak Wang melalui aplikasi WhatsApp yang kini disertai lebih 2,000 ahli.
Beliau berkata ia berperanan sebagai platform perkongsian tip kewangan, makluman mengenai perlindungan sosial seperti mySalam dan Perlindungan Tenang serta hebahan aktiviti dan peluang pembelajaran berterusan.
Sejak diperkenalkan pada 2019, mySalam telah membantu sebanyak 1.8 juta ahli dengan jumlah bayaran tuntutan mencecah RM1.311 bilion setakat 31 Okt lepas.
Merujuk kepada pengumuman Belanjawan 2026, skim berkenaan akan dilanjutkan hingga Disember 2026 sebagai komitmen berterusan pihak kerajaan untuk menyediakan perlindungan kewangan kepada rakyat berpendapatan rendah.
Sementara itu, Muhammad Safwan berkata Bijak Wang Challenge 2025 membuatkan beliau semakin rajin membaca dan mengulang kaji seperti ketika zaman persekolahan serta mengakui banyak perkara mengenai kewangan mudah difahami apabila dipelajari melalui kaedah interaktif yang menyeronokkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial