SHAH ALAM, 17 Nov (Bernama) -- Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) merancang untuk membeli dan memperoleh tambahan unit kediaman bagi Skim Smart Sewa sehingga mencapai 3,000 unit menjelang 2027.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ketika ini LPHS memiliki 1,199 unit di bawah skim tersebut, yang telah dimanfaatkan penduduk pelbagai kaum dan agama sejak ia diperkenalkan lapan tahun lalu.
“Ia akan dilaksanakan menerusi pembelian unit daripada pemaju secara terus atau melalui timbal balas daripada pembinaan rumah khas e-khas yang dikenali sebagai Idaman dan Harapan,” katanya.
Beliau menjawab soalan R. Rajiv (PH-Bukit Gasing) mengenai perkembangan terkini Skim Smart Sewa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Amirudin berkata sejak skim itu diperkenalkan, seramai 1,361 keluarga di Selangor telah menerima manfaat di bawah inisiatif tersebut.
Beliau berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan perbelanjaan tahunan bagi menambah unit di bawah Skim Smart Sewa untuk memastikan bekalan mencukupi mengikut keperluan semasa.
Secara keseluruhan, katanya, seramai 239 peserta skim tersebut telah mencapai tempoh maksimum kontrak selama lima tahun.
Daripada jumlah itu, 68 peserta telah menamatkan penyewaan dan berpindah keluar atas beberapa faktor termasuk membeli rumah sendiri, berpindah tempat kerja, serta tamat tempoh sewaan maksimum.
“Sementara itu, baki 171 peserta menyambung tempoh penyewaan tambahan iaitu lanjutan maksimum dua tahun bagi tahun keenam dan ketujuh.
“Tempoh tambahan ini dibenarkan bagi memberi ruang kepada penyewa yang masih belum mampu atau stabil untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya.
Untuk rekod, Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang belum berpeluang memiliki Rumah Selangorku untuk menyewa kediaman dengan keistimewaan pulangan semula 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih apabila mereka menamatkan tempoh kontrak minimum dua tahun, dengan tempoh maksimum lima tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial