JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2025: Bernama Menang Lima Anugerah

18/11/2025 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berjaya memenangi lima anugerah dalam empat kategori dipertandingkan pada majlis Anugerah Kecemerlangan Media (AkeMedia) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025 di sini, malam ini.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Pada majlis itu, dua petugas Bernama meraih tempat pertama masing-masing Ketua Biro Bernama Johor Hasnah Jusid bagi kategori Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik 2025, melalui kandungan bertajuk “Dari Flat Usang ke Harapan Baru Bandar”, dan jurugambar Bernama Terengganu Mohd Khairul Fikiri Osman bagi kategori Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik 2025.

Kedua-dua mereka membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi dan sijil.

Kategori Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik 2025, juga menyaksikan seorang lagi wartawan daripada Bernama Kelantan Mohd Noor Iqram Rosli memenangi tempat ketiga dengan artikelnya bertajuk “Portal Teduh: Akses Informasi Perumahan”.

Selain itu, wartawan Perkhidmatan Berita Ekonomi Abdul Hamid A Rahman juga mendapat tempat ketiga bagi Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik 2025, menerusi tiga artikel bersiri mengenai isu yuran penyenggaraan dalam pembangunan strata Malaysia.

Sementara gandingan wartawan penyiaran Bernama Radio Siti Hashmarr Mohd Hashim, Nurul Shuhadah Armawan dan Edlynna Hanie Abu Hamid, meraih tempat ketiga bagi Anugerah Penyiaran Radio Terbaik 2025 menerusi penyiaran bertajuk “Lambakan Rumah Tidak Terjual: Mampu Milik atau Hanya Mimpi?”.

Kesemua mereka yang mendapat tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi dan sijil.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin yang turut hadir pada majlis berkenaan, menzahirkan harapan agar pencapaian Bernama malam ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

“Alhamdulillah malam ini lima pemenang daripada Bernama termasuk dua juara, yang saya tidak sangkakan kerana terdapat lebih daripada 240 penyertaan, untuk disenarai pendek sebagai finalis pun sudah baik apatah lagi memenangi anugerah.

“Jadi bagi pihak Bernama, terutamanya pengurusan Bernama, saya berasa amat berbangga terutamanya melihat wartawan-wartawan muda kami memenangi anugerah ini,” katanya.

Terdahulu, Nga dalam ucapan alu-aluannya berkata komunikasi zaman kini bukan lagi sekadar proses penyampaian mesej, tetapi kerjasama berstrategi dalam menyampaikan dasar kerajaan yang menuntut ketelusan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu sosial, ekonomi dan pembangunan.

Beliau berkata tanggungjawab itu menjadi lebih mencabar dengan perkembangan platform media sosial serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas.

“Teknologi komunikasi moden ini ibarat pedang bermata dua. Di satu pihak, media sosial membolehkan mesej kerajaan disebarkan kepada lebih ramai orang dalam masa singkat.

“Di pihak lain, ia membuka ruang untuk salah tafsir, manipulasi maklumat dan penyebaran tohmahan yang tidak benar, yang boleh menjadi tular dalam beberapa saat sahaja,” katanya.

Justeru, beliau berkata kerjasama erat antara media dan kerajaan menjadi semakin penting, terutamanya dalam membina ekosistem komunikasi yang lebih matang dan bertanggungjawab.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan