JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

PM Anwar Bawa Suara Dan Kepentingan Malaysia Dalam Lawatan Ke Afrika

18/11/2025 03:43 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan terus mengangkat kepentingan dan suara negara di pentas antarabangsa, termasuk melalui lawatan beliau ke tiga negara di benua Afrika, dengan Ethiopia menjadi persinggahan pertama.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar memaklumkan Malaysia komited memperteguh multilateralisme, meluaskan peluang pelaburan dan ekonomi, serta memperkukuh seni diplomasi dan hubungan antarabangsa melalui lawatan berkenaan.

“Mohon doa teman-teman agar urusan saya dan delegasi Malaysia dipermudah, lantas membawa manfaat dan pulangan terbaik kepada negara,” katanya.

Beliau berkata beliau dan delegasi Malaysia kini berada di Addis Ababa, Ethiopia untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Dr Abiy Ahmed Ali.

Beliau berkata lawatan itu turut merangkumi sesi pertemuan bersama peneraju industri, komuniti perniagaan, dan pemimpin-pemimpin Islam di negara berkenaan.

Anwar juga memaklumkan beliau akan meneruskan lawatan kerja ke Johannesburg, Afrika Selatan, bagi mewakili Malaysia ke Sidang Kemuncak Pemimpin G20, selain mengadakan pertemuan dengan Presiden Cyril Ramaphosa.

“Saya turut akan ke Nairobi, Republik Kenya, untuk sesi pertemuan bersama Presiden William Ruto bagi merapatkan hubungan kedua-dua negara, meneroka peluang dan kerjasama baharu, selain dijadualkan bertemu pemimpin-pemimpin Islam di sana,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan