ISKANDAR PUTERI, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan Johor akan menubuhkan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) yang bertujuan membangunkan kesemua 10 daerah di negeri itu seiring usaha mencapai kemajuan menjelang 2030.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pelan itu menumpukan usaha dan strategi merancakkan sektor ekonomi di setiap daerah, sekali gus membuktikan usaha pembangunan negeri bersifat menyeluruh dan tidak hanya terhenti menerusi inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Beliau berkata kerajaan negeri mengambil maklum kebimbangan sesetengah pihak berhubung tumpuan pembangunan di zon ekonomi itu dan daerah Johor Bahru.
“Sebagai Menteri Besar, saya tidak sesekali lupa untuk memperjuangkan kemajuan dan pembangunan menyeluruh merentasi 10 daerah dan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) demi manfaat empat juta rakyat.
“JS-SEZ bukan destinasi terakhir untuk Johor (tetapi) impian dan cita-cita kita jauh lebih besar meliputi setiap penjuru daerah agar mencapai kemajuan menjelang 2030. Inilah destinasi hakiki pembangunan Johor yang akan dicapai melalui perancangan rapi dan terperinci di bawah JETP,” katanya dalam ucapan penggulungan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata JETP memfokuskan empat intervensi strategik utama iaitu ketersediaan infrastruktur, polisi mesra pelabur, insentif fiskal dan bukan fiskal serta penyediaan tenaga pekerja.
Sebanyak 32 inisiatif telah dikenal pasti dengan 13 daripadanya berimpak tinggi dan akan diberi keutamaan serta dipercepat pelaksanaannya.
Beliau berkata tumpuan sektor ekonomi di Johor Bahru dan Kulai akan terus menjadikan daerah itu sebagai hab pembangunan kecerdasan buatan (AI), pembuatan berteknologi tinggi, ekonomi digital, aeroangkasa dan perkhidmatan berorientasikan eksport.
Muar pula sebagai pusat pelancongan dan industri pemprosesan makanan bernilai tinggi serta kompleks tenaga perindustrian; pusat transit strategik dan agropelancongan (Tangkak) manakala zon tanaman bernilai tinggi dan pemprosesan biojisim (Segamat).
Batu Pahat pula diperkasakan sebagai sektor ekonomi industri pemprosesan dan pembuatan; hab tenaga biru-hijau dan produk akuakultur (Pontian); gerbang tenaga, hab kimia hijau pertanian dan pelancongan (Kota Tinggi); hab ekonomi biru dan ekopelancongan (Mersing) serta hab agropemprosesan bernilai tinggi, pertanian dan logistik (Kluang).
Onn Hafiz optimis JETP mampu membawa Johor mencapai kemajuan dari segi pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pendapatan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial