LANGKAWI, 22 Nov (Bernama) -- Pasukan The Next Factor dari Malaysia muncul juara Piala Raja Muda untuk tahun kedua berturut-turut, sekali gus mengesahkan kemenangan dalam Regata Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2025.
The Next Factor yang dikemudi skipper Rolf Heemskerk mengungguli saingan Kelas 1 dengan kelebihan tipis satu mata berbanding Hollywood Samurai di tangga kedua (19 mata penalti) diikuti Blitz di tempat ketiga (24 mata).
Heemskerk berkata pasukannya tidak pernah hilang fokus walaupun bermula perlahan pada peringkat awal regata itu yang melibatkan cabaran pelayaran selama sembilan hari bermula 14 Nov.
“Kami tidak mendahului sebahagian besar perlumbaan tetapi kami terus berjuang. Setiap perlumbaan adalah perlumbaan baharu dan setiap saat amat bermakna.
“Resipi kejayaan kami mudah, iaitu kerja keras, kru yang hebat dan pada masa sama menikmati setiap detik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah di sini hari ini.
Dalam Kelas 2, Shahtoosh merangkul Piala Cabaran Jugra, manakala Jolt muncul juara Kelas 3 untuk membawa pulang Piala Cabaran Datuk Abdul Aziz Ismail.
Kimikimi pula merangkul Piala Cabaran Jeff Harris dalam Kelas 4, manakala Dash mengungguli Kelas 5 untuk membawa pulang Piala Kelab Layar Pulau Langkawi.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan piala kepada semua pemenang pada majlis itu malam ini.
Sebanyak 23 pasukan menyertai edisi ke-35 RMSIR yang bermula dari Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Pangkor sebelum ke Pulau Pinang dan berakhir di Langkawi. Perlumbaan pesisir pantai juga diadakan di Pulau Pinang dan Langkawi.
Regata berkenaan merupakan idea cetusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda bergelar Raja Muda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial